[VIDEO] Nahas selepas buka puasa di rumah mentua, lelaki maut motosikal dinaiki 3 beranak bertembung treler di Napoh


  • Tular
  • Sabtu, 23 Mac 2024

Motosikal dinaiki mangsa dipercayai bertembung dengan sebuah lori treler dalam kemalangan di Napoh, Jitra, Kedah pada Jumaat.

PERJALANAN tiga beranak pulang dari berbuka puasa di rumah mentua dengan menaiki motosikal berakhir tragedi selepas mereka terlibat dalam kemalangan bersama sebuah treler di Kilometer 16.5 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di Napoh, Jitra, Kedah pada Jumaat.

Nahas tersebut meragut nyawa bapa bagi keluarga berkenaan sementara isterinya pula parah putus kaki manakala anaknya mengalami kecederaan di kepala.

Sebelum kejadian, keluarga terbabit dipercayai hadir bagi berbuka puasa di rumah mentua yang terletak di Changlun, Kedah.

BACA LAGI: [VIDEO] AS dah keluar amaran 2 minggu awal, lebih 60 maut serangan kumpulan bersenjata, pakai baju celoreng di Moscow

BACA LAGI: Kate Middleton dedah hidap kanser, pemimpin dunia titip ucapan semangat

Video mengenai kejadian tersebut turut tular memaparkan keadaan cebisan tubuh mangsa yang dilihat berada di atas jalan raya ekoran kemalangan berkenaan.

Difahamkan, dua mangsa yang terselamat sedang dirawat di Hospital Jitra manakala mayat mangsa yang maut baru selesai menjalani proses bedah siasat di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah pada pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan dilapor mengesahkan mengenai kejadian tersebut yang berlaku pada pukul 10.50 malam.

Katanya, mangsa lelaki berusia 32 tahun itu maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada keseluruhan anggota badan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika dua kenderaan tersebut bergerak dari arah Changlun menghala ke Jitra.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, treler berkenaan memotong motosikal tersebut yang berada di hadapan dengan bergerak ke tengah jalan.

“Apabila hampir selesai memotong, secara tiba-tiba pemandu treler itu menyedari kenderaan dipandu berlanggar dengan tayar belakang sebelah kiri motosikal menyebabkan ketiga-tiga mangsa jatuh di tempat kejadian,” katanya.

Beliau berkata, isteri mangsa berusia 32 tahun dan anak lelaki pasangan itu yang berusia empat tahun mengalami luka pada anggota badan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

kemalangan maut, Napoh, Jitra, Changlun, puasa, mertua