'Hari-hari menangis minta maaf', 'trader' share tips 'sekolahkan' semula scammer


  • Massa
  • Selasa, 26 Mac 2024

Jenayah penipuan dalam talian banyak menimbulkan kebimbangan ramai.

KEGIATAN jenayah berkaitan penipuan atau scam wang terutamanya secara dalam talian bagaikan sudah menjadi perkara biasa di negara ini.

Lebih licik apabila jenayah itu boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja dengan pelbagai cara untuk menipu mangsa.

Kebanyakan kes adalah melibatkan wang sehingga menyebabkan seseorang itu terpaksa menanggung kerugian yang banyak.

Rentetan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif untuk membanteras jenayah tersebut.

Kerajaan juga sebelum ini berkali-kali memberi peringatan kepada rakyat Malaysia agar tidak mudah mempercayai sebarang perkhidmatan meragukan di aplikasi atau media sosial.

WhatsApp Image 2024-03-25 at 6.07.56 PM

Scam boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk dan cara. — Gambar hiasan

Namun, perkara itu nampaknya tidak dapat dibendung sepenuhnya yang menyaksikan masih ada lagi orang ramai terjerat masuk ke dalam perangkap penipuan.

Bagaimanapun, setiap masalah pasti mempunyai jalan penyelesaian, begitu juga dengan isu berbangkit itu.

Menurut seorang warga maya menggunakan akaun Twitter (X) @norazambudin, terdapat beberapa tip yang boleh digunakan khusus buat mangsa penipuan wang.

WhatsApp Image 2024-03-25 at 6.08.14 PM

Amaran scam yang dikeluarkan kerajaan. — Gambar hiasan

Perkongsiannya itu adalah berdasarkan pengalaman seorang warga Facebook, Satu Dua yang juga pernah menjadi mangsa kegiatan tersebut.

Dalam hantarannya, tip berikut berjaya memberi pengajaran kepada si penipu.

1. Buat laporan polis dan polis akan tanya tujuan. Beritahu untuk rujukan kepada pihak bank.

2. Bawa laporan polis, pergi bank yang si scammer guna dan buat pula laporan pada bank tersebut. Contohnya, beritahu ditipu sebanyak RM200.

3. Bank kemudiannya akan bekukan semua akaun bank di bawah nama pemilik itu. Scammer akan tidak senang hati apabila banknya tidak boleh digunakan.

4. Si scammer perlu buat laporan polis baru dia boleh berurusan dengan bank untuk selesaikan masalah pembekuan akaun. Bank juga tidak boleh mengaktifkan akaun tersebut jika mangsa tidak tarik laporan polis yang dilakukan sebelum ini.

5. Scammer pula akan merayu pada mangsa supaya tarik balik laporan polis. Jadi, mangsa boleh letakkan syarat jika duit tersebut dipulangkan kembali oleh si penipu.

6. Lepas sudah dibayar, mangsa mempunyai hak untuk menarik atau tidak laporan polis.

WhatsApp Image 2024-03-25 at 6.09.00 PM

Hantaran dimuat naik lelaki tersebut. — Gambar hiasan

Tambah pengguna terbabit, mangsa boleh menunggu lima hingga enam bulan jika mahu memberi pengajaran kepada individu tidak bertanggungjawab itu.

“Macam saya buat dekat scammer sebelum ini, berbulan bulan baru saya tarik balik, hari-hari si scammer merayu mintak maaf.

“Kalau rasa dah puas hati, baru tarik balik lapor polis, pergi bank beritahu perkara itu barulah bank akan aktifkan balik akaun bank si scammer,” katanya.

Tetapi, ada juga yang berpandangan bahawa tip tersebut hanya boleh diguna pakai untuk kejadian melibatkan penipuan perniagaan atau akaun bank persendirian.

“Tak keldai akaun, pengusaha kecil. Masa aku kena dulu, dia bagi random nombor akaun pengusaha lepas itu kita transfer ke akaun itu. Dia pura-pura nak beli barang. Dia akan cakap dah tersalah transfer,” komen @feiiiii_.

‘Tapi scammer dah bijak. Dia takkan guna akaun betul. Dia akan guna akaun dummy yang juga mangsanya,” tulis @muhsinkamikaze. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram