Polis maut dipukul di Balakong, 5 suspek ditahan


  • 112
  • Ahad, 24 Mac 2024

Kesemua suspek dipercayai dilihat berada berhampiran tempat mayat anggota polis itu ditemui kira-kira pada pukul 3 pagi hari kejadian.

LIMA lelaki ditahan kerana selepas dipercayai terlibat dalam kes memukul anggota polis sehingga mati di sebuah blok rumah pangsa di Taman Impian Indah, Balakong, Kajang, Selangor pada awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lima suspek berusia antara 19 dan 35 tahun itu ditahan di kawasan Taman Impian Indah.

“Anggota Unit Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor menahan lima suspek yang didakwa terlibat.

“Mereka telah direman tujuh hari untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

BACA LAGI: Ambil ilham suasana KL 1935, jurutera ini mula inisiatif berbasikal ke tarawih

Pada Sabtu, polis dilaporkan sedang mencari sekumpulan lelaki berhubung kematian seorang anggota polis berusia 34 tahun di rumah pangsa itu.

Kesemua suspek dipercayai dilihat berada berhampiran tempat mayat anggota polis itu ditemui kira-kira pada pukul 3 pagi hari kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] AS dah keluar amaran 2 minggu awal, lebih 60 maut serangan kumpulan bersenjata, pakai baju celoreng di Moscow

Sumber berkata, polis menerima panggilan selepas mangsa ditemui terbaring tidak bergerak di tempat kejadian.

Mangsa yang berpangkat koperal bertugas di lokap Sentul.

Hussein berkata, punca kematian dikenal pasti sebagai trauma alat tumpul di kepala.

Beliau meminta sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Mohd Afiq Farhan Mohd Nor di talian 012-244 6768. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram