Misteri bagasi berisi RM500,000 ditinggal di pusat beli-belah Damansara, polis minta pemilik tampil


  • 112
  • Khamis, 21 Mac 2024

Hussein menunjukkan wang tunai berjumlah RM500,000 di dalam sebuah bagasi ditemui di sebuah pusat beli-belah di Damansara, Selangor, pada Rabu.

SEORANG pengawal keselamatan di sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Selangor terkejut selepas pemeriksaan dibuat terhadap satu bagasi ditemui di tempat letak kenderaan premis berkenaan rupa-rupanya berisi wang tunai lebih RM500,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan tersebut daripada pengawal keselamatan terbabit pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Peniaga mengamuk, siap ugut nak pancung kepala penguat kuasa gara-gara isu lesen

“Pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di kawasan Damansara, Petaling Jaya menemui beg berkenaan.

"Di dalamnya, ia mengandungi wang tunai melebihi RM500,000 dan pemiliknya masih belum diketahui. Beg pakaian itu ditemui di kawasan tempat letak kereta pusat beli-belah itu," katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Kotak hitam helikopter APMM terhempas di Klang masih belum ditemui

Beliau berkata demikian ketika satu sidang media di ibu pejabat polis daerah Subang Jaya, Selangor, pada Khamis.

Hussein berkata, penemuan itu kemudiannya dilaporkan kepada polis dengan pihaknya kini sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian berkenaan.

"Tiada kamera litar tertutup (CCTV) yang menghadap ke kawasan di mana beg itu ditemui. Bagaimanapun, terdapat kamera yang menghadap ke pintu masuk dan keluar tempat letak kereta dan kita juga sedang memeriksanya.

"Saya menggesa orang yang kehilangan wang yang banyak ini untuk hadir ke balai polis Petaling Jaya atau menghubungi polis di talian 03-7966 2222," katanya sambil menambah bukti mesti dibawa juga untuk mengesahkan pemilikan wang itu. — The Star/ JUSTIN ZACK

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram