POLIS mengesahkan dua individu iaitu juruterbang dan pembantunya terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Kapar, Selangor pada Selasa.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, kedua-dua mangsa yang juga ahli Kelab Air Advanture Flying Club itu terbenam kira-kira dua meter di lokasi kejadian.
"Mayat mangsa ditemui berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter dan ketika usaha untuk membawa keluar mayat sedang dijalankan.
"Kedua-dua mangsa berusia antara 30 hingga 40 tahun," katanya.
BACA LAGI: Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda
Serpihan badan pesawat yang terhempas di lokasi kejadian. — Facebook
Kedua-dua identiti mangsa juga sudah dikenal pasti dan difahamkan berasal dari Johor dan Pulau Pinang.
Hussein dilaporkan berkata, mengikut 'manifest' iaitu senarai nama penumpang pesawat, mangsa terbabit adalah Daniel Yee Hsiang Khoon, 30 dan Roshaan Singh Raina, 42.
"Mayat dijangka dapat dikeluarkan dalam tempoh tiga jam sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk bedah siasat," katanya.
Dalam perkembangan terbaharu, kedua-dua mayat sudah dibawa keluar pada pukul 7.50 malam Selasa.
Mayat mangsa itu juga dibawa keluar dari lokasi kejadian menggunakan kenderaan trak polis secara berasingan.
Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan bahawa pesawat ringan tersebut adalah model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC terhempas ketika berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
CAAM dalam satu kenyataan berkata, hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan, namun tiada panggilan kecemasan diterima.
BACA LAGI : CAAM sahkan 2 mangsa terlibat nahas pesawat ringan terhempas, tak terima panggilan kecemasan
Pesawat yang terhempas adalah milik Kelab Air Advanture Flying Club. — Facebook
Bagaimanapun, terdapat dakwaan yang dibuat salah satu saksi mengatakan bahawa pesawat terbabit sudah meletup di udara sebelum terhempas berhampiran kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar.
Dakwaan yang dikeluarkan pengguna TikTok @annaimkamal, serpihan komponen pesawat itu dikatakan melayang di udara selepas terhempas.
Bagaimanapun, Pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilaporkan sedang berusaha mengeluarkan badan pesawat yang terbenam di lokasi kejadian.
Ketika operasi, pasukan SAR turut dikatakan menggunakan beberapa peralatan termasuk cangkul. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram