POLIS merampas lima pasang stoking tertera kalimah ALLAH ketika membuat pemeriksaan di sebuah kilang dekat Batu Pahat, Johor pada pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, sepasukan 40 anggota polis dikerahkan untuk menyiasat kilang syarikat Xin Jian Chang Sdn Bhd yang dipercayai menjadi lokasi bagi urusan pembungkusan dan pengedaran stoking tersebut.
“Kami merampas lima pasang stoking yang tertera kalimah ALLAH. Produk tersebut sudah pun dipulangkan oleh kedai serbaneka KK Super Mart Bandar Sunway di Selangor.
“Kami dimaklumkan terdapat 16 guni yang berisi 18,800 pasang stoking dibawa dari China sebelum kilang itu membungkus semula dan mengedarkannya ke pasaran.
"Kami memeriksa setiap stok dan mendapati stoking yang lain tidak tertera kalimah ALLAH kecuali lima pasang yang kami rampas,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
BACA LAGI: KK Mart mohon maaf isu stoking, Bell Ngasri pesan jangan buat main kalimah ALLAH
Stoking yang tertera kalimah ALLAH dijual di salah satu rangkaian KK Super Mart.
BACA LAGI: [VIDEO] Gara-gara pertahan hak pendidik dan pelajar, guru kena 'headshot' lepas pulang mengajar
Tambahnya, ketika ini hanya tiga cawangan kedai serbaneka itu yang menjual stoking kontroversi itu, masing-masing di Selangor iaitu dua di Bandar Sunway dan satu lagi di Sunway Mentari.
Ujarnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ismail turut mengingatkan agar orang ramai atau badan bukan kerajaan (NGO) tidak mengambil bahagian dalam mana-mana perhimpunan atau demonstrasi berkaitan isu penjualan stoking berkenaan.
“Kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan aktiviti bertentangan dengan undang-undang. Biar polis yang menjalankan siasatan,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram