[VIDEO] Berkumpul beramai-ramai lepas tarawih di Pasar Borong KL bukan sebab gaduh berparang, cuma perselisihan faham suami isteri — Polis


  • 112
  • Rabu, 20 Mac 2024

Tangkap layar video tular orang awam mengerumuni rumah suami isteri warganegara Myanmar yang bergaduh di Pasar Borong KL baru-baru ini.

POLIS menafikan bahawa kejadian pergaduhan yang berlaku antara lelaki tempatan berbangsa India dengan lelaki warga Myanmar di Pasar Borong Kuala Lumpur, Kuala Lumpur seperti mana yang ditularkan di media sosial baru -baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, video ditularkan dengan mesej "India curi Rohingya punya rumah' adalah tidak benar dan telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, video tersebut merujuk kepada pergaduhan adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara suami isteri warganegara Myanmar

"Pada Ahad lebih kurang pukul 9.24 malam, pihak Polis telah menerima maklumat daripada panggilan kecemasan terdapat pergaduhan di sebuah rumah Kongsi di Pasar Borong Kuala Lumpur berhampiran CIMB bank, Jinjang, Kuala Lumpur.

"Seramai empat orang mangsa telah dihantar ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan.

"Bertindak atas maklumat tersebut, pihak Polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul telah berjaya menangkap dua lelaki warganegara Myanmar berumur 20 dan 21 tahun yang terlibat dalam kes ini di tempat kejadian.

"Motif pergaduhan adalah disebabkan oleh perselisihan faham antara suami isteri. Suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan direman di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul bermula Isnin sehingga 23 Mac ini untuk membantu siasatan lanjut.

"Kes telah diklasifikasikan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana telah menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata dan seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: Polis Mersing terima 5 laporan dakwaan serangan seksual ketua sayap pemuda parti politik

BACA LAGI: Bukan saja-saja lambat, saya hanya ikut prosedur pihak berkuasa — pemilik Rotarium Buffet Steamboat Restaurant

Beliau turut meminta orang awam supaya tidak menyebar mahupun berkongsi lanjut sebarang maklumat sedemikian untuk mengelakkan kegusaran dan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang di dalam negara ini. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Sentul 03-40482222," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram