[VIDEO] Model sambilan cemburu tikam teman lelaki di Bandar Rimbayu


  • 112
  • Selasa, 12 Mac 2024

Mangsa meninggal dunia dipercayai ditikam kekasihnya di rumah mereka yang berlokasi di Bandar Rimbayu dekat Cyberjaya, Selangor pada Isnin. — Gambar Hiasan

SEORANG jurugambar sambilan lelaki meninggal dunia dipercayai ditikam kekasihnya di rumah mereka yang berlokasi di Bandar Rimbayu dekat Cyberjaya, Selangor pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.41 pagi daripada doktor di Hospital Cyberjaya yang memaklumkan menerima seorang pesakit dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, pengadu membuat bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dalam masa 30 minit tetapi tiada tindak balas dan denyutan nadi dari mangsa.

"Mangsa yang berusia 26 tahun itu kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 7.25 pagi Isnin dengan kecederaan luka tikaman di bahagian pergelangan tangan kiri dan kaki kiri dipercayai ditikam dengan sebilah pisau.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat membuat tangkapan terhadap teman wanita mangsa di kawasan hospital," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Malu dapat, sakit pun dapat’, peragut macam badut tertinggal motor selepas patah balik di Lukut

BACA LAGI: [VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru

Tambah beliau lagi, hasil semakan, wanita berusia 26 tahun itu adalah bekas pelajar perubatan dan bekerja sebagai model sambilan serta tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Siasatan awal mendapati punca kejadian adalah cemburu kerana suspek mendapati mangsa telah berlaku curang terhadapnya," katanya.

Ahmad Ridhwan berkata, wanita berkenaan direman enam hari bermula Selasa bagi siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram