PEMILIK Rotarium Buffet Steamboat Restaurant, yang didakwa tidak mahu bertanggungjawab terhadap enam sekeluarga yang mengalami kecederaan serius selepas dapur memasak steamboat tiba-tiba meletup di sebuah di Temerloh, Pahang baru-baru ini tampil menafikan isu tersebut.
Pemiliknya, Mohd Sofrizam Mohd Yusof turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan individu tersebut yang mendakwa pihaknya lambat memberi respons kepada mangsa.
"Peguam dan pihak tertentu nasihatkan pihak kami untuk tidak membuat sebarang kenyataan mengenai kejadian tersebut.
"Bukan saja-saja lambat keluarkan kenyataan, saya hanya mengikut prosedur yang telah dinasihatkan oleh pihak peguam.
"Sekarang ini, kejadian tersebut masih dalam siasatan dan saya tidak mahu mengganggu siasatan yang sedang dijalankan kerana ia boleh mengeruhkan lagi keadaan," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: 'Gaji minimum 2 tahun lepas dah tak sama, RM1,500 rasa semakin sikit'
Beliau juga menepis dakwaan hanya memberikan pampasan sebanyak RM1,000 kepada enam mangsa tersebut.
"Mereka masih lagi menjalani rawatan dan pihak kami sendiri bersama peguam yang dilantik akan membayar segala pampasan yang diminta seperti yang sudah dibincangkan.
"Saya sendiri tidak pernah mengeluarkan kenyataan untuk membayar pampasan sebanyak itu.
"Saya sebagai pemilik sudah tentu ada rasa bertanggungjawab dan berjumpa sendiri dengan mangsa.
"Bagi pihak kedai, kami sudah menziarah, berjumpa dan berbincang dengan mangsa pada 11 Mac di rumah dan 14 Mac di hospital yang berlokasi di Kuala Lumpur.
"Hasil perbincangan kami sudah mencapai kata sepakat untuk tindakan selanjutnya. Repot polis dari pihak kami pun sudah dibuat, siasatan dari pihak bomba juga telah di jalankan," katanya.
Terdahulu, isu tersebut menjadi tular selepas seorang lelaki, Asri Yusof membuat satu hantaran di Facebook mendakwa pemilik premis berkenaan hanya memberi pampasan Rm1,000 walaupun kecederaan yang mereka alami agak serius.
"Kepada yang biasa atau baru nak cuba di sini nak beri peringatan ya. Anak saya bersama keluarga menantu baru-baru ni makan di sana pada hari Sabtu (9 Mac) lepas.
"Berlaku kejadian gas memasak steamboat itu meletup menyebabkan ahli keluarga tercampak dan melecur di bahagian muka dan tangan. Sangat bahaya dan boleh menyebabkan kecelakaan yang boleh meragut nyawa.
"Kesan melecur tentunya akan menjadi kecacatan kekal. Difahamkan pada tahun lepas bulan November berlaku juga tetapi tiada tindakan pencegahan dilakukan. Tak pasti ada laporan kepada pihak berkuasa atau tidak.
"Pemilik juga tidak melakukan apa apa tindakan membantu kami hanya sekadar membawa keluarga kami ke klinik berdekatan. Tiada tindakan susulan dan hanya selepas saya memaksa baru datang melawat," dakwanya.
Kecederaan melecur yang dialami oleh mangsa. — X/@fikaaabonooo
Menjelaskan secara lanjut, Mohd Sofrizam berkata, beliau tidak mengenali individu yang dikenali sebagai Asri Yusof.
"Secara jujurnya, saya tidak mengenali siapa Asri Yusof ini kerana dia bukan mangsa dan tidak terlibat dalam perbincangan kami.
"Saya tidak tahu dia siapa, ada yang kata Asri Yusof ini ahli keluarga mangsa tetapi saya sendiri tidak pernah berjumpa dengan dia.
"Saya agak terkejut bila mendakwa pihak kami tidak mahu bertanggungjawab sedangkan saya sendiri sudah berjumpa dengan mangsa.
"Siasatan kes ini juga masih berjalan dan kalau boleh saya tidak mahu menyinggung perasaan mana-mana pihak. Biarlah pihak berkuasa yang tentukan.
"Kami ini hanya peniaga kecil dan saya ada pekerja untuk diberi makan. Jangan kerana hanya fitnah seperti ini akan memudaratkan orang lain," luahnya.
Beliau turut meminta individu tersebut serta orang awam yang tidak yang berpuas hati atau ada sebarang kemusykilan boleh datang berjumpa dengannya.
"Boleh datang jumpa saya sendiri, kadang-kadang apa yang kita baca di media sosial ini boleh mendatangkan fitnah.
"Pihak bomba sendiri bagi tahu, kejadian itu berlaku di luar kawalan saya dan pelanggan.
"Buat masa sekarang, saya serahkan pada pihak berkuasa dan berharap agar kejadian ini tidak lagi diputar-belit oleh pihak tertentu," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram