PERSOALAN mengenai pengganti Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih Selangor FC akhirnya terjawab setelah mereka mengumumkan Nidzam Jamil akan mengisi posisi itu.
Dia yang sebelum ini memegang portfolio sebagai pembantu untuk beberapa tahun diberikan peranan itu berdasarkan pengalaman dan kebolehannya.
Keputusan itu pasti akan menimbulkan sedikit tanda tanya memandangkan kelab Lembah Klang tersebut dikatakan memiliki calon lain dari luar negara.
Selain itu, kekurangan pengalaman Nidzam di pentas Asia juga dikhuatiri akan memberi kesan terhadap kempen skuad Gergasi Merah dalam Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2 bagi musim depan.
Bagaimanapun, sebahagian besar penyokong seakan-akan gembira dengan keputusan itu kerana masing-masing mahu memberikan jurulatih berusia 43 tahun tersebut peluang lebih besar.
BACA LAGI: [VIDEO] Bekas pengendali Johor dedah tewaskan Gergasi Merah bukan misi balas dendam
BACA LAGI: Ejen kongsi coach Korea Selatan sudah tiba, dikait ke 'gergasi' Lembah Klang
"Alhamdulillah, tahniah coach Nidzam. Kalau diikutkan lesen dimilikinya, banyak pasukan Liga Super lain nak jadikannya pengendali, tetapi dia kekal jadi pembantu.
"Tak sia-sia coach kekal, akhirnya dapat juga menjadi jurulatih Selangor FC. Dengan ilmu dan pengalaman mungkin dapat digunakan untuk saingan musim depan," kata Juki.
"Tidak perlu pakai jurulatih import, anak jati apa salahnya. Nak banggakan jurulatih luar buat apa? Nidzam Jamil bukan calang-calang kerana ketika bersama Felda United, Selangor FC sukar tewaskan mereka," ujar Mohd Zaidi Basri.
"Alhamdulillah. Akhirnya, tahniah coach Nidzam Jamil. Dulu-dulu jadi jurulatih sementara setelah ramuan DNA Jerman gagal. Moga untuk musim 2024/25, impak formula dari 'Kajang Power' membawa hasil tanpa gangguan," kata Musz Blues.
Selain pernah bergelar pembantu kepada Cheng Hoe, pengendali kelahiran Kajang itu juga pernah memegang jawatan sama ketika Michael Feichtenbeiner mengemudi skuad Gergasi Merah.
Taktikalnya yang kemas dan teratur menjadikannya sebagai antara calon pilihan dengan Selangor FC pasti berhasrat dapat meneruskan musim cemerlang mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram