'Kali terakhir nampak di stesen berseorangan tapi tak tahu Nor Diana nak ke mana'


  • Tular
  • Rabu, 20 Mac 2024

Nor Diana kali terakhir dilihat di Terminal Bas Shahab Perdana dekat Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.

HATI ibu mana yang tidak bersedih apabila anak kandung yang ditatang bagai minyak yang penuh kini hilang tanpa berita.

Demikianlah perasaan Maznah Ismail, 44, ketika ini apabila mengenangkan anak perempuannya, Nor Diana Mohd Najib, 21, yang hilang dari kolej sejak tiga minggu lalu.

Diana yang merupakan seorang penuntut Institut Latihan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kampus Alor Setar, Kedah dilaporkan hilang masih gagal dihubungi hingga kini.

Menurut Maznah, anak kedua daripada empat beradik kali terakhir dilihat di Terminal Bas Shahab Perdana dekat Shahab Perdana, Alor Setar, Kedah.

"Ada kawan anak beritahu mereka nampak Nor Diana di stesen bas tersebut berseorangan tetapi tak tahu dia nak pergi mana," katanya ke Majoriti.

Tambahnya lagi, Nor Diana sepatutnya pulang ke rumah keluarganya di Perumahan KTMB Tumpat di Kelantan, pada 29 Februari lalu ketika cuti pertengahan semester, namun tidak berbuat demikian.

"Kali terakhir kami berhubung pada 7 Mac lalu dan ketika ditanya adakah dia akan pulang ke rumah semasa cuti pertengahan semester, Nor Diana hanya kata tak tahu dan kemudiannya menangis.

"Pada mulanya saya hanya menyangka dia mungkin penat belajar dan meminta dia untuk bersabar.

"Saya tak syak apa-apa pun dan perbualan itu tamat begitu sahaja. Namun, selepas itu kami ada cuba menghubungi Nor Diana lagi tetapi gagal," katanya.

BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam

WhatsApp Image 2024-03-20 at 17.33.57

Nor Diana

BACA LAGI: [VIDEO] Motor melelong terlanggar batu sebelum terseret, polis bantuan maut nahas babit 5 kenderaan di Iskandar Puteri

Maznah menyedari kehilangan penuntut tahun pertama Diploma Kejururawatan selepas mereka menelefon penyelia kolej terbabit.

"Jujur saya katakan, saya cemas dan pada masa sama terkejut kerana apabila dimaklumkan pelajar sedang bercuti selama 10 hari bermula 29 Februari.

"Saya cuba hubungi Nor Diana lagi tetapi telefon telah dimatikan dan dia gagal dikesan.

Katanya lagi, dia juga sudah pergi ke kolej kediaman anaknya di ILKKM kampus Alor Setar pada 10 Mac lalu untuk bertemu tenaga pengajar serta rakan Nor Diana.

"Saya dah tanya semua kawan dan cikgu dia, semua tak tahu dia pergi mana. Malah barang-barang anak saya di kolej sedikit pun tidak terusik.

"Barang dan baju dia masih ada lagi, saya yakin dia akan balik cumanya sekarang saya tak tahu dia di mana," ujarnya.

Maznah juga meluahkan rasa kecewa dengan tindakan warga maya yang bermulut jahat dan mendakwa dia hanya melaporkan kes kehilangan anaknya selepas tiga minggu.

WhatsApp Image 2024-03-20 at 17.33.57 (1)

Keluarga Nor Diana sudah membuat laporan polis berhubung kes kehilangan anaknya selepas tiga minggu.

"Saya akui agak kecewa apabila membaca komen segelintir warga maya yang mempersoalkan tindakan kami sekeluarga.

"Ramai yang tidak tahu kami telah melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis. Kami tidak mahu menghebahkan kehilangan Nor Diana kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

"Kami sudah buntu tapi dalam masa yang sama tidak henti solat hajat dan berdoa mengharapkan Nor Diana selamat dan kembali ke pangkuan kami.

"Sehingga kini kami belum menerima khabar positif mengenai kehilangan Nor Diana. Segala media sosial seperti Telegram, Instagram serta WhatsApp dia sudah tiada," katanya lagi.

Maznah juga berharap agar Nor Diana dapat segera pulang ke pangkuan keluarga dan ditemui dengan selamat.

"Saya mohon dan merayu orang ramai bantu dan cari anak saya. Tolong jangan apa-apakan anak saya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram