MASA semakin hampir untuk penyokong Harimau Malaya turun kembali ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberikan sokongan dalam perlawanan penting berdepan Oman.
Malaysia akan turun berdepan Oman pada 26 Mac di Bukit Jalil untuk aksi penting kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 selepas aksi pertama yang diadakan dekat Muscat pada 22 Mac.
Dua perlawanan tersebut amatlah penting buat skuad kendalian Kim Pan-gon. Hal ini kerana, keputusan positif yang dapat diraih daripada aksi berganda tersebut akan menentukan sama ada Malaysia dapat ke pusingan ketiga kelayakan atau tidak.
Sudah pasti, Pan-gon yang begitu gemar beraksi di depan penyokong Bukit Jalil mahukan seramai mungkin ekor Harimau Malaya turun walaupun perlawanan diadakan pada bulan Ramadan.
Pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan yang tiket untuk aksi berdepan Oman telah mula dijual dengan pada tiga jenis harga.
Menurut FAM, tiket terbuka dijual pada kadar RM40 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak. Sementara RM60 untuk kelas dirian utama (grandstand) dan RM80 untuk premium.
BACA LAGI: FAM silap besar jika aksi Krgyzstan kekal di Bukit Jalil
Kadar harga yang ditetapkan oleh FAM itu sukar untuk diterima oleh kalangan penyokong menjelang perlawanan penting tersebut.
Rata-rata daripada mereka mengeluh mengenai kualiti padang Bukit Jalil yang teruk lebih-lebih stadium itu baru saja mengadakan konsert penyanyi dari England iaitu Ed Sheeran.
Lantas, para penyokong Harimau Malaya mahukan FAM memuat naik gambar padang Bukit Jalil di media sosial terlebih dahulu sebelum mereka membuat keputusan untuk membeli tiket atau tidak.
BACA LAGI: FAM fikir alternatif jika Kyrgyzstan enggan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil
Padang Bukit Jalil yang rosak menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2023. — Agensi
"Cuba kongsikan gambar padang dulu, nak tengok," kata penyokng bernama Arif Fahmi.
"Kau kongsikan dulu gambar padang, kalau okey aku beli. Kalau padang macam rambut presiden stadium itu, aku tengok dekat televisyen saja," ujar Farhan Haziq.
"(Harga) beras naik, harga tiket pun naik. Good job. Padang masih kualiti rendah, macam bancuh kopi dibuatnya," kritik Iso Mania.
Rata-rata menjadikan kualiti padang yang tidak begitu baik sebagai alasan untuk tidak mahu ke stadium. Malah ada yang mengancam untuk memboikot perlawanan tersebut kerana kecewa.
Akan tetapi, tidak kira di mana Malaysia beraksi, sokongan haruslah diberikan supaya kita mampu meraih kemenangan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram