DALAM ketidaktentuan ekonomi pada ketika ini, sudah pasti ada dalam kalangan ibu bapa yang terpaksa berbelanja lebih untuk memastikan keperluan persekolahan anak-anak dipenuhi.
Antara barangan tersebut ialah sepasang baju sekolah, kasut, beg, alat tulis, buku latihan serta beberapa keperluan lain.
Sudah pasti segala perbelanjaan ini memerlukan perancangan kewangan teliti supaya ibu bapa atau penjaga tidak berasa terbeban. Apatah lagi kerana perbelanjaan membeli kelengkapan persekolahan pada masa ini semakin meningkat.
Bukan itu sahaja, setiap kali sesi persekolahan pasti isu ini akan menjadi topik perbincangan utama dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa.
Bagi menyelesaikan masalah tersebut, terdapat cadangan agar ibu bapa membuat 'tabung persekolahan' untuk memudahkan kemasukan anak-anak ke sekolah.
"Belanja anak nak masuk sekolah perbelanjaan yang kita dah tahu sejak setahun lalu lagi. Bukannya baru tahu bulan lepas.
"Perbelanjaan macam ini kena potong siap-siap daripada gaji setiap bulan, masukkan ke dalam sampul. Apabila nak guna, tarik sahaja duit daripada sampul itu," tulis seorang pengguna media sosial baru-baru ini.
BACA LAGI : [VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru
BACA LAGI : Lesen memandu MyJPJ sama tapi muka orang lain, apa cerita ni YB Anthony Loke, JPJ?
Tidak dinafikan cadangan itu merupakan antara inisiatif yang baik, namun perlu diingat tidak semua keluarga berkemampuan dari segi kewangan untuk melaksanakannya.
Banyak faktor sebenarnya yang perlu diambil kira sebelum cadangan itu benar-benar boleh dilakukan, ia termasuk kekangan dari sudut kadar pendapatan, pemeriksaan kesihatan dan keperluan mendesak yang lain.
Berdasarkan luahan seorang pengguna Facebook dengan nama akaun Nini Ruspawan, dia menyifatkan tindakan segelintir pihak mengkritik ibu bapa yang dikatakan gagal membuat tabung persekolahan anak-anak adalah satu perbuatan yang sangat tidak wajar.
"Maaf, komen menyokong dan kemudian menghentam orang lain yang tak mampu menabung ini memualkan tekak saya.
"Kalian perlu rasa bagaimana hidup tanpa gaji, tidak mampu bekerja asbab sakit dan bagaimana peritnya apabila tiada sebutir beras pun (untuk makan) sehingga kering duit syiling dikorek demi membeli secupak beras," katanya dalam satu hantaran pada Ahad.
Dia mengakui, setiap individu tidak akan terlepas daripada pelbagai jenis dugaan.
"Logik akal manusia tak sama dengan cara ALLAH SWT bekerja. Memang kemiskinan itu wujud sebagai salah satu ujian hidup.
"Hatta orang itu berusaha sedaya upaya pun, kalau Tuhan nak uji dia dengan kemiskinan, tetaplah dia akan diuji.
"Kita yang berusaha kemudian diberikan kemudahan, ingat satu benda. Semua itu dapatan daripada ALLAH SWT, Dia yang berkehendak. Bukan sebab usaha kamu. Tapi sebab Allah nak bagi. Muhasabah diri, jangan hidup dengan sifat keakuan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram