[VIDEO] Sawah padi di Kelantan seluas 50 hektar kembali kering-kontang, tanah merekah akibat tak cukup sumber air


  • Massa
  • Isnin, 18 Mac 2024

Kawasan tanah bendang di Pasir Mas kelihatan merekah akibat cuaca panas berpanjangan.

MASALAH kekeringan melampau di kawasan sawah padi di Pasir Mas, Kelantan boleh dikatakan hampir setiap tahun berlaku.

Pada 2022, seramai 150 petani yang mengusahakan padi dua musim di Bendang Gaal, Gong Datuk dan Wakaf Bunut, Kelantan dilaporkan berdepan kerugian lebih RM800,000 apabila tanaman terbantut akibat kemarau berlaku lebih awal daripada jangkaan.

Selama hampir sebulan, tiga bendang seluas kira-kira 200 hektar itu dikatakan tidak menerima bekalan air sehingga menjadi kering-kontang.

Terbaharu, ketika lawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husain tidak menafikan ia perlu ditangani dengan segera.

BACA LAGI: Bomba guna teknik 'fire beater' selamatkan Bukit Broga

BACA LAGI: 'Tolong jumpa, libatkan OKU sebelum buat laluan khas'

Menerusi video dimuat naik di Facebooknya pada Isnin, kawasan sawah padi dilawat bersama Ketua Unit Peladang Bechah Semak seluas 50 hektar itu kelihatan dalam keadaan kritikal.

Kelihatan juga permukaan tanah yang kering kontang serta merekah sehingga menjejaskan kualiti penanaman padi.

Katanya, ia berlaku disebabkan ketiadaan sumber air mencukupi di kala cuaca tidak menentu dan panas berpanjangan.

"Bendang padi tiada sumber air 50 hektar. Dimaklumkan bahawa setiap tahun masalah yang sama berlaku iaitu apabila kemarau melanda, kawasan tanaman padi ini terjejas teruk.

"Tanah mula merekah, pokok menjadi kering dan perlahan-lahan akan mati akibat kemarau berpanjangan," tulisnya.

Sehubungan itu, Muhammad bertindak pantas menghubungi Pejabat KADA Pasir Mas dan memohon pihak tersebut untuk mengambil tindakan segera.

Pada masa sama, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan itu mencadangkan supaya satu atau dua telaga tiub segera dibina untuk mengekalkan bekalan sumber air demi menyelamatkan kawasan padi berkenaan.

"Jika dapat dibina satu atau dua telaga tiub segera, Insya-ALLAH, pokok padi di kawasan ini dapat diselamatkan.

"Saya yakin para pegawai saya sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya namun kita semua menghadapi krisis kemarau yang teruk.

"Saya telah mengarahkan satu pelan tindakan tangani masalah kemarau dapat diwujudkan segera untuk menyelesaikan kemelut ini," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram