POLIS kini sedang memburu lelaki dikenali sebagai 'Abang Soya' yang mendakwa kontraknya untuk mengusahakan gerai di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor ditamatkan tanpa sebab.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, pihak polis sedang berusaha mendapatkan kerjasama daripada individu terbabit bagi menyelesaikan masalah tersebut.
“Sehingga Sabtu, kami menerima dua laporan polis berhubung video tular yang disiarkan Khamis lalu (18 Januari).
“Tetapi setakat ini, tiada laporan polis dibuat oleh lelaki yang dikenali sebagai Abang Soya itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] UiTM akan selesai isu 'Abang Soya' dakwa teraniaya
BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini satu penganiayaan', peniaga dakwa kena halau tanpa sebab pihak IPT di Johor
Ahmad Zamry berkata, kedua-dua laporan polis sudah diserahkan kepada mahkamah dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut.
“Kami ingin menasihatkan orang ramai supaya berhenti mencipta sebarang spekulasi yang boleh membawa kepada keresahan orang ramai,” tambahnya.
UiTM Johor dalam satu kenyataan berkata, pihak pengurusan dan unit berkaitannya akan bertemu dengan lelaki terbabit tidak lama lagi.
"Kami ingin membetulkan keadaan dan membersihkan semua salah komunikasi. Kami terkilan dengan semua spekulasi yang salah dan berharap ia akan berakhir," katanya.
Katanya lagi, pihak UiTM Cawangan Johor akan berjumpa dengan lelaki terbabit bagi menyelesaikan isu tersebut.
"Pihak pengurusan dan unit yang terlibat sedang dalam proses menyelesaikan isu ini dan akan berjumpa dengan pihak tersebut dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu dan memperbetulkan keadaan yang tidak jelas yang telah menimbulkan salah faham.
"Pihak UiTM Cawangan Johor berasa kesal dengan apa yang terjadi dan berharap segala spekulasi yang tidak tepat oleh pelbagai pihak dapat segera dihentikan," ujar kenyataan itu.
Majoriti sebelum itu melaporkan seorang peniaga meluahkan rasa kesalnya apabila dia dihalau daripada berniaga di sebuah institut pendidikan tinggi awam (IPTA) yang berlokasi di Segamat.
Individu yang hanya dikenali sebagai Najmudin Shukor itu melalui akaun Tik Tok peribadinya berkongsikan pengalaman tersebut pada Khamis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram