[VIDEO] 'Takkan asyik terlepas bas', Imigresen digesa gempur warga asing disyaki buat TBS macam rumah


  • Massa
  • Ahad, 21 Jan 2024

Seorang individu mendakwa ada beberapa warga asing yang mengambil kesempatan untuk menjadikan TBS sebagai tempat tidur mereka. — Facebook

MARAH dengan tindakan sesetengah warga asing menjadikan Terminal Bersepadu Selatan (TBS) di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur tidak ubah seperti 'rumah' mereka, seorang individu menggesa pihak berwajib untuk memantau keadaan tersebut.

Warga maya yang menggunakan nama Done Claim menerusi laman Facebook Kami Anti Pati pada Sabtu itu mendakwa ada beberapa warga asing yang mengambil kesempatan untuk menjadikan premis tersebut sebagai tempat tidur mereka.

"Senang hidup mereka. Sewa tak payah bayar, cukai tak payah bayar, elektrik tak payah bayar dan siap ada aircond (penyaman udara) lagi.

"Nak mandi pun percuma. Pihak berkuasa terutamanya polis bantuan di kawasan tersebut seharusnya memantau keadaan itu.

'Tak perhati muka yang tidur kat TBS ini? Kalau sudah setiap malam muka yang sama tidur di TBS sudah tentu muka yang tak nak bayar sewa rumah," tulisnya.

BACA LAGI: [VIDEO] UiTM akan selesai isu 'Abang Soya' dakwa teraniaya

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini satu penganiayaan', peniaga dakwa kena halau tanpa sebab pihak IPT di Johor

Tambahnya lagi, tindakan warga asing yang datang ke terminal stesen bas bersepadu pada setiap malam itu tidak logik dan mencurigakan.

"Takkan setiap malam terlepas bas, takkan lah esok pagi bas nak jalan malam ni dah datang TBS?

"Bas jalan pukul 7 pagi ke? Ada ke bas jalan pukul 7? Paling awal pukul 8 pagi tu pun bukan hari-hari. Kalau pukul 8 pagi bas jalan, apa naik LRT pukul 6.30 tak sempat sampai TBS ke?

"Yang tu pun penguat kuasa kat TBS tu tak boleh fikir? Minta pihak Imigresen yang kata dah mark 220 hotspot PATI (pendatang asing tanpa izin) itu, masukkan juga TBS ni dalam senarai," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pengguna TikTok, tamayaku_store berkongsi satu video memaparkan beberapa warga asing tidur di ruang premis terminal bas tersebut.

Video berkenaan turut mengundang 1001 pertanyaan dalam kalangan warga maya dan mempersoalkan tindakan pihak berwajib yang dilihat tidak serius dalam menangani isu tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram