Lapor jika bantuan persekolahan dipotong — Fadhlina Sidek


  • Primer
  • Jumaat, 02 Feb 2024

Kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

PIHAK sekolah tidak seharusnya melakukan sebarang bentuk pemotongan terhadap wang Bantuan Awal Persekolahan (BAP) bernilai RM150 yang disalurkan kepada murid.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan, ibu bapa disarankan untuk membuat aduan secara terus kepada Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) sekiranya terdapat mana-mana sekolah yang ingkar arahan tersebut.

"BAP adalah untuk meringkankan beban ibu bapa, jadi jumlah bantuan yang diberikan perlu sampai (sepenuhnya) ke tangan ibu bapa, tidak boleh dipotong.

“Sekiranya ada aduan, kami akan meminta penjelasan dan membuat siasatan.

"Jika benar ada pemotongan, kita akan minta sekolah tersebut untuk mengembalikan semula bantuan itu kepada ibu bapa dalam jumlah penuh," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina dan Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Selangor di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Yu Hua, Kajang, Selangor pada Jumaat.

Sebelum ini, seorang individu dipercayai ibu bapa mendakwa dia hanya menerima RM50 daripada pihak sekolah ketika proses pengagihan BAP.

Dakwanya, guru di sekolah tersebut memotong RM100 sebagai bayaran yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan koperasi.

BACA LAGI : Hanya dapat RM50 daripada RM150 bantuan BAP, ibu bapa persoal sekolah potong siap-siap bayaran PIBG, koperasi

Handed down: Seven-year-old Arruzain Izzul (left) received his brother’s Arriqqy Izzran old school uniforms at their home in Shah Alam. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

BAP disalurkan oleh kerajaan bagi tujuan meringkankan beban ibu bapa.

BACA LAGI : BAP hanya untuk ibu bapa, sekolah tidak boleh potong sesuka hati — Fadhlina

Mengulas lanjut, Fadhlina berharap agar pengagihan BAP sedikit sebanyak dapat meringankan tanggungan ibu bapa.

"Mudah-mudahan dengan bantuan awal persekolahan ini, dapat kita ringankan beban ibu bapa khususnya dengan beberapa penekanan antara lain tidak boleh dipotong BAP ini," katanya.

KPM sebelum ini mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM788.13 juta menerusi Belanjawan 2024 khusus untuk tujuan BAP yang akan memberi manfaat kepada lebih 5.25 juta murid.

Di Selangor sahaja, lebih RM127.3 juta diperuntukkan bagi BPA melibatkan 933 sekolah dan 848,744 pelajar.

Fadhlina

Sementara itu, mengulas mengenai kemasukan semula peperiksaan Ujian Pentaksiran Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Fadhlina berkata, pihaknya mengambil maklum pandangan ibu bapa berhubung perkara tersebut.

Ujarnya, setakat ini KPM memberi keutamaan kepada perkembangan kurikulum 2027 dan hala tuju negara dalam empat bidang utama iaitu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penguasaan bahasa Inggeris, pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan digital.

“Kami juga sedang meneliti perkembangan prasekolah di peringkat kementerian,” katanya. — The Star/ JAAYNE JEEVITA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram