[VIDEO] UiTM akan selesai isu 'Abang Soya' dakwa teraniaya


  • Massa
  • Sabtu, 20 Jan 2024

Abang Soya (tengah) mendakwa terpaksa menjual peralatan perniagaannya kepada orang ramai untuk menanggung kos kerugian.

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) akan menyelesaikan isu dan berjumpa dengan seorang peniaga yang mendakwa dirinya dihalau daripada menjalankan perniagaan di sebuah tapak yang berlokasi di kampus UiTM, Segamat, Johor baru-baru ini,

UiTM Cawangan Johor dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil maklum berkenaan video TikTok 'Abang Soya' yang tular pada 18 Januari 2024 lepas berkaitan UiTM Cawangan Johor kampus Segamat.

"Pihak pengurusan dan unit yang terlibat sedang dalam proses menyelesaikan isu ini dan akan berjumpa dengan pihak tersebut dalam masa terdekat bagi menyelesaikan isu dan memperbetulkan keadaan yang tidak jelas yang telah menimbulkan salah faham.

"Pihak UiTM Cawangan Johor berasa kesal dengan apa yang terjadi dan berharap segala spekulasi yang tidak tepat oleh pelbagai pihak dapat segera dihentikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

BACA LAGI: Terima 2 laporan, polis cari 'Abang Soya' meniaga di UiTM Johor

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini satu penganiayaan', peniaga dakwa kena halau tanpa sebab pihak IPT di Johor

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang peniaga meluahkan rasa kesalnya apabila dia dihalau daripada berniaga di sebuah institut pendidikan tinggi awam (IPTA) yang berlokasi di Segamat.

Individu yang hanya dikenali sebagai Najmudin Shukor itu melalui akaun Tik Tok peribadinya berkongsikan pengalaman tersebut pada Khamis.

"Terima kasih UiTM Segamat untuk peristiwa ini. Terima kasih juga beri peluang saya meniaga sebulan lebih.

"Saya tak tahu pihak atasan yang mana terminate (tamatkan kontrak) saya, cuma saya berharap agar semua ini takkan berlaku pada alumni yang lain. Cukup saya seorang sahaja jadi mangsa. Terima kasih untuk segalanya," tulisnya.

Dalam rakaman video tersebut, Najmuddin yang juga dikenali sebagai 'Abang Soya' turut menunjukkan hari terakhir dia mengemas tapak perniagaan yang berlokasi di dalam IPTA berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram