Peguam Negara diberi tempoh hingga 9 September tetapkan representasi kes rasuah Zahid Hamidi


Keputusan berhubung rayuan pembebasan Zahid melibatkan kes rasuah sistem VLN. — The Star

MAHKAMAH Rayuan memberi tempoh sehingga 9 September ini kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk memutuskan dua representasi Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam rayuan terhadap pembebasannya berhubung kes rasuah sistem Visa Luar Negara (VLN).

Hakim Hadhariah Syed Ismail, yang mempengerusikan panel tiga hakim pada Isnin berkata, pihak pendakwaan mesti membuat keputusan mengenai representasi itu sama ada mahu meneruskan rayuannya atau sebaliknya.

Hadhariah memberitahu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, sebarang representasi yang dihantar mesti mempunyai jawapan, dengan hari yang ditetapkan untuk pendengaran rayuan pihak pendakwaan bagi membatalkan pembebasan Ahmad Zahid.

BACA LAGI: PM Anwar minta jangan besarkan lagi isu bak kut teh, pembukaan kantin sekolah ketika Ramadan

Ahmad Zahid sebelum ini dibebaskan daripada semua pertuduhan Pada 23 September 2022. — The Star

Terdahulu, panel itu dimaklumkan oleh peguam utama Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik bahawa pihak pembelaan memohon penangguhan pendengaran rayuan atas dasar representasi kepada AGC masih belum diputuskan.

Seorang lagi peguam Ahmad Zahid, Hamidi Mohd Noh juga memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan memerlukan lebih masa untuk membalas hujah pihak pendakwaan.

"Kami memerlukan lebih banyak masa untuk menyelesaikan isu-isu dan membalas hujahan," katanya.

Tambahnya, Ahmad Zahid perlu mempengerusikan mesyuarat di Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada waktu pagi.

Dusuki berkata, pihak pendakwaan tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan itu kerana ia juga memerlukan masa untuk mengkaji perkara tersebut sekali gus memberi pertimbangan sewajarnya bagi kedua-dua representasi.

BACA LAGI: Kantin sekolah tetap beroperasi sepanjang Ramadan untuk murid bukan Muslim

fe1a252696684f5d730e35a3d74201ee

Mohd Dusuki menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai bantahan terhadap penangguhan tersebut. — AGC

Hadhariah kemudian memberitahu, bahawa pihaknya telah menghabiskan beberapa hari untuk meneliti nota rayuan.

“Saya tidak menyentuh mana-mana kes lain kerana saya mahu fokus supaya saya boleh memahami keseluruhan kes dari A hingga Z.

“Saya juga membaca nota prosiding itu. Sangat memenatkan membacanya kerana ia tebal.

"Pemeriksaan maklum balas seorang saksi boleh mengambil masa berhari-hari. Ratusan jika tidak beribu muka surat untuk dibaca tetapi saya seorang yang teliti.

"Saya tidak akan bercakap banyak kerana pihak pendakwa raya juga tidak membantah (penangguhan)," katanya.

Mahkamah kemudiannya menetapkan tarikh untuk mengetahui keputusan representasi.

Susulan itu, rayuan dijangka diteruskan pada tarikh yang sama jika representasi ditolak oleh AGC.

Hakim lain dalam panel itu termasuk Hakim Azman Abdullah dan SM Komathy Suppiah.

Pada 23 September 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Ahmad Zahid daripada semua pertuduhan selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan tidak mengemukakan kes prima facie terhadapnya.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan notis rayuannya kepada Mahkamah Rayuan.

Zahid kemudian menghantar representasi pertamanya kepada AGC pada Januari 2023 untuk pertimbangannya untuk tidak meneruskan rayuan itu. — The Star/ NURBAITI HAMDAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram