KONGRES Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB) dijadualkan berlangsung dari 29 Februari hingga 2 Mac di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
KEB 2024 dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan bertemakan 'Positif, Progresif, Inovatif'.
Penganjuran KEB 2024 ialah landasan penting dalam mencari jalan lebih serius bagi memperkasakan ekonomi bumiputera khususnya dalam aspek teknologi baharu dan pelan futuristik untuk generasi akan datang.
Menariknya pada kali ini, terbuka kepada semua termasuk mana-mana parti politik.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyertaan yang dijangka mencapai 3,000 peserta itu turut melibatkan semua dewan perniagaan bumiputera iaitu Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta Orang Asli.
"Kita buta warna di dalam soal ekonomi bumiputera," katanya menerusi sidang akhbar selepas majlis prapeluncuran KEB 2024 di Bangunan Perdana Putra, yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
BACA LAGI : [VIDEO] Langkah Dubai hanya 'diversion' - Wan Fayhsal
Anwar (tengah) merasmikan Majlis Prapeluncuran Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Jabatan Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra pada Rabu. — Facebook/AnwarIbrahim
BACA LAGI : Hampir 500,000 data peribadi rakyat Malaysia terjual, peniaga aktif di platform e-dagang sejak Jun Lalu
Namun, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memiliki pendapat berbeza apabila beliau menyifatkan kongres tersebut tidak akan mendatangkan sebarang hasil sekiranya ia hanya fokus kepada perbincangan semata-mata.
"Saya tidak nafikan ia adalah satu usaha yang bagus namun sudah banyak kali kongres ini diadakan tetapi tidak membuahkan hasil.
"Kongres ini bagi saya tidak ada apa-apa nilai game changer.
"Benda yang sudah lama dibincangkan sejak sekian lama, apa yang kita mahu adalah pelaksanaan dan penyelesaian masalah," katanya kepada Majoriti.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan dalam meningkatkan ekonomi terutamanya golongan bumiputera adalah tanggungjawab Menteri Kewangan.
Tambahnya lagi, kegagalan untuk memastikan perkara tersebut bukan sahaja menyebabkan objektif membantu bumiputera tidak tercapai malah memberi impak buruk pada ekonomi negara.
"Menteri patut buat kerja elok-elok tapi menteri tak buat kerja masalahnya, sebab itu nilai ringgit jatuh," jelasnya.
Tambahnya lagi, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang mendakwa pihak pembangkang masih belum menerima apa-apa jemputan untuk menghadiri kongres tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram