Usaha hidupkan Muafakat Nasional terhalang kerana Zahid Hamidi, ahli Parlimen Umno — Shahidan


  • Politik
  • Khamis, 15 Feb 2024

Piagam Muafakat Nasional antara lain memperjuangkan agenda pemerkasaan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera di dalam pentadbiran negara.

PADA Rabu, seorang pimpinan PAS mengeluarkan kenyataan bahawa beliau yakin kerjasama antara PAS dan Umno masih boleh dihidupkan kembali melalui Muafakat Nasional (MN).

Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, ramai masih percayakan masih ada peluang untuk merealisasikan kerjasama antara kedua-dua parti terbabit.

Meskipun belum ada pertemuan rasmi antara pimpinan Umno dan PAS, beliau melahirkan keyakinannya terhadap potensi untuk mengembalikan kerjasama tersebut.

Untuk rekod, MN merupakan sebuah kerjasama yang dibentuk pada 14 September 2019 ekoran daripada Himpunan Penyatuan Ummah.

Gagasan yang dibentuk melibatkan Umno dan PAS itu kemudiannya turut disertai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Piagam Muafakat Nasional itu antara lain membawa agenda pemerkasaan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera di dalam pentadbiran negara.

Kerjasama tersebut bagaimanapun mula terjejas ekoran daripada pembentukan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang melibatkan PAS dan Bersatu.

Exclusive interview with Umno president Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi during the Umno General Assembly in World Trade Centre yesterday. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, di sebalik desakan Umno agar PAS meninggalkan PN sekiranya mahu menjalinkan kerjasama dengan Umno.

Malah, PAS juga memilih untuk kekal bersama PN termasuk dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seorang ahli Parlimen daripada PN, Datuk Seri Shahidan Kassim, beliau percaya bahawa penghalang kepada kerjasama tersebut adalah disebabkan kepimpinan tertinggi Umno.

Ujarnya, ia termasuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Shahidan yang juga bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, beliau mendakwa sentimen tersebut tidak dikongsikan oleh pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi.

"Kalau dilihat politik di peringkat akar umbi kita akan dapat sokongan yang luar biasa (kerjasama MN).

"Yang tidak mahu kawan (MN) itu kebanyakannya ahli Parlimen dan yang ada jawatan utama dalam parti," katanya ketika dihubungi Majoriti.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata, di peringkat akar umbi, idea kerjasama antara parti termasuk yang melibatkan PAS, Umno dan Bersatu sememangnya sudah pun berlaku.

Bagaimanapun, beliau berkata, ia dilaksanakan melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di beberapa buah negeri termasuk yang dipengerusikannya seperti Pertubuhan Perpaduan Ummah.

"Jadi NGO seperti ini ahlinya memang terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu. Masa kempen pilihan raya baru-baru ini juga kita amalkan pendekatan itu agar semua pihak ini duduk di bawah satu bumbung.

"Waktu itu, saya dapat undi daripada orang Umno, banyaklah sebab orang Umno sendiri menyokong di atas dasar perpaduan ummah," dakwanya.

Umno berpotensi berpecah jika usaha hidupkan semula MN dijalankan

Dalam pada itu, pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kemungkinan wujudnya perbincangan antara pimpinan kedua-dua parti itu sememangnya ada.

Katanya, cubaan itu pastinya melibatkan kumpulan yang tidak sealiran dengan Presiden Umno dan mahu bekerjasama semula dengan PAS menerusi MN.

The 68th PAS Muktamar while Perikatan Nasional chairman Tan Sri Muhyiddin Yassin looks on at PAS Kedah Complex in Kota Sarang Semut, Alor Setar. ( September 3, 2022 ) — ZHAFARAN NASIB/The Star

Tindakan PAS memilih untuk kekal bersama PN menyebabkan Umno menilai kembali kerjasamanya bersama parti itu di bawah MN. — Gambar hiasan

Jelas beliau, keperluan untuk perkara itu dikuatkan lagi dengan perkembangan semasa yang berlaku dalam politik dan pentadbiran negara.

"Saya lihat mungkin ramai pemimpin dan ahli Umno sendiri yang tidak selesa dengan kenyataan demi kenyataan yang dikeluarkan oleh pemimpin DAP yang menyentuh isu semasa berkaitan orang Melayu Islam.

"Justeru apabila berhadapan dengan isu ini pemimpin Umno sendiri sukar menerangkan kepada ahli dan orang Melayu, malah sukar bekerjasama dalam sebuah kerajaan dan tidak seperti dijangkakan pada awal penubuhan Kerajaan Perpaduan," katanya.

Menurut Mohammad Tawfik, pengaruh kumpulan yang cenderung kepada MN juga tidak boleh dipandang ringan memandangkan golongan tersebut terdiri daripada pemimpin Umno yang bukan sahaja pernah menjadi menteri, tetapi juga memegang jawatan tinggi di dalam parti itu seperti naib presiden, pengerusi perhubungan dan ahli MKT.

Dalam pada itu, usaha untuk menghidupkan MN itu sekiranya berjalan katanya berpotensi untuk memberikan kesan terhadap perpaduan di dalam Umno.

"Ini akan membuatkan perpecahan dalam Umno menjadi lebih jelas dan serius," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram