[VIDEO] Bukan tak hirau 'nasib Melayu', ini penjelasan MBAS kes peniaga berkelahi dengan anggota di Dataran Alor Setar


  • 112
  • Ahad, 17 Mac 2024

Tangkap layar video tular memaparkan ketegangan yang berlaku melibatkan beberapa peniaga bersama anggota penguat kuasa MBAS di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, Kedah, pada Khamis lalu.

TINDAKAN dua peniaga lelaki di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini menghalang anggota penguat kuasa menjalankan tugas membawa padah selepas mereka ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kedua-dua individu terbabit yang masing-masing berusia 33 dan 42 tahun melakukan kesalahan tersebut terhadap anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) dalam kejadian pada Khamis lalu.

Dalam insiden sekitar pukul 11.38 malam itu, pembantu penguat kuasa MBAS yang sedang bertugas membuat operasi sitaan peniaga di kawasan dataran berkenaan dihalang sebelum tercetusnya kekecohan dan pergelutan terbabit.

“Kedua-dua individu itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menghalang penjawat awam iaitu anggota MBAS yang sedang menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan.

Video berdurasi dua minit 23 saat mengenai insiden tersebut tular di sosial media memaparkan tindakan beberapa lelaki bertindak agresif termasuk menengking anggota penguat kuasa.

Tidak cukup dengan itu, mereka didengar turut mencabar anggota penguat kuasa untuk berkelahi di lokasi.

BACA LAGI: Jadikan Birmingham muflis sebagai iktibar, ini pro-kontra Malaysia anjur Sukan Komanwel 2026

BACA LAGI: Ibu bapa terasa kenaikan belanja persediaan sekolah

Di media sosial, terdapat sesetengah pihak melahirkan simpati terhadap nasib peniaga tersebut.

Mereka turut berpandangan bahawa anggota penguat kuasa sepatutnya memberikan kelonggaran terhadap peniaga jalanan di lokasi berkenaan yang rata-ratanya berbangsa Melayu.

Bagaimanapun, MBAS dalam kenyataannya mengenai insiden tersebut memaklumkan tempat itu sememangnya merupakan kawasan larangan bagi mana-mana pihak menjalankan perniagaan.

Ujarnya, papan tanda mengenai larangan berkenaan juga diletakkan di lokasi.

Katanya, ketika kejadian, anggota penguatkuasaannya sedang mengambil tindakan terhadap beberapa peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan dataran berkenaan.

“Kawasan Dataran Medan Bandar Alor Setar memang dilarang untuk sebarang perniagaan dan telah ada papan tanda yang memaklumkan mengenai perkara itu tetapi ada pihak yang masih berdegil,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, MBAS mengeluarkan notis larangan berniaga di kawasan itu membabitkan sebarang aktiviti seperti penjualan makanan dan minuman, alat permainan, kenderaan mikromobiliti dan ‘car boot sale‘ sejak Julai 2020. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram