JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak berkompromi dengan tindakan Israel memasarkan produknya di negara ini.
Terbaharu, JKDM dilaporkan merampas sebanyak 73 pek buah kurma 'Organic Jumbo Medjool Dates' dipercayai produk dari Israel.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad dilaporkan berkata, kurma seberat 14.6 kilogram bernilai RM678 itu dirampas di sebuah gudang di sekitar Klang, Selangor pada Selasa.
BACA LAGI : Hasrat sahur keluarga di Kota Kinabalu terbantut, kurma baru dibeli busuk, berulat
BACA LAGI : [VIDEO] Juruwang mengandung terkilan ditumbuk pelanggan tak sabar sampai mata kiri bengkak di Johor Bahru
Katanya, serbuan pada pukul 11.30 pagi itu dilakukan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah II Selangor susulan video yang tular di media sosial berkaitan sebuah premis menjual buah kurma yang disyaki produk dari negara terbabit.
Terdahulu, video tersebut memaparkan peniaga menjual kurma yang diimport dari Israel.
"Hasil pemeriksaan ke atas gudang berkenaan menemukan 73 pek buah kurma dilabelkan Organic Jumbo Medjool Dates yang disyaki produk dari Israel.
"Pada serbuan itu juga, seorang lelaki warga tempatan berusia 40-an dipercayai pemilik perniagaan berkenaan turut ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.
Selain gudang, serbuan dikatakan turut dilakukan di sebuah pejabat di Klang dan sebuah kedai yang menjual makanan organik di Petaling Jaya, Selangor.
Dalam sidang media sama, JKDM turut merampas rokok putih yang diseludup masuk ke dalam negara.
Jelasnya, semakan JKDM mendapati, kurma dibawa masuk dari Eropah secara pukal bersama barangan makanan lain dari Eropah pada 2022 dan diisytiharkan sebagai 'food stuff'.
"Ia kemudian dibungkus semula untuk dijual di pasaran tempatan pada harga RM20 hingga RM30," katanya.
"Apa-apa produk dari Israel perlu mendapat permit khas daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti)," katanya.
Mengulas lanjut, pihaknya dikatakan tidak menolak kemungkinan tindakan susulan sekiranya terdapat maklumat penjualan produk yang sama.
"Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan atau memiliki barangan larangan mengikut Seksyen 135(1)(d)," katanya.
Dalam sidang media sama, JKDM turut merampas hampir enam juta batang rokok putih dalam dua rampasan berasingan dengan nilai dianggarkan RM4.35juta (RM4,354,400) bersama duti serta cukai. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram