KEGIRANGAN dua sahabat lelaki bermandi-manda di sungai bertukar tragedi selepas seorang mangsa cedera parah akibat terjatuh dari tebing air terjun pada ketinggian 30 kaki (9.1 meter).
Insiden itu difahamkan berlaku di air terjun ThottiKallu yang terletak di Bengaluru, India.
Kes itu bagaimanapun terjadi pada Mei 2018, namun rakaman kemalangan tersebut kembali tular di media sosial pada Sabtu dan menjadi bualan warga maya.
Menurut laporan media antarabangsa, mangsa, Nawaz Ahmed yang berusia 16 tahun pada ketika itu dikatakan mengayuh basikal bersama rakannya, Ranganath untuk ke lokasi kejadian.
Sewaktu bermandi-manda, Nawaz memutuskan untuk memanjat tebing batu menuju ke puncak air terjun tersebut sambil diperhatikan pengunjung lain.
Bagaimanapun, malang buat remaja itu apabila dia tergelincir dan terjatuh dari tebing ketika cuba membuat terjunan ke bawah.
BACA LAGI: Salah ikut kawan pergi kelas KAFA, murid SK Briekfields 2 ditemukan selamat lepas hilang 5 jam
BACA LAGI: [VIDEO] Otak bersepai dalam helmet, pembonceng maut bertembung lori di Gelang Patah
Ranganath dalam pada itu sempat merakam tingkah laku Nawaz menggunakan telefon pintarnya, sebelum memaklumkan tentang insiden itu kepada penduduk tempatan.
Orang ramai kemudian bergegas membawa Nawaz ke hospital berdekatan dan melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis.
Nawaz mengalami kecederaan di kepala akibat hantukan yang kuat pada sebuah batu besar, selain tulang kakinya juga patah.
Menurut seorang saksi, Manoj Kumar, 36, batu tersebut ditutupi dengan organisma alga dan menyebabkan permukaannya menjadi sangat licin.
"Keadaan batu yang licin memang tidak selamat untuk sesiapa memanjatnya," katanya.
Difahamkan, pada hari kejadian, remaja itu meninggalkan rumah dan keluar bersama Ranganath tanpa pengetahuan ibu bapanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram