Isu guru 'gila konten' bukan saja buka aib pelajar tapi undang risiko jenayah, CMCF sokong cadangan NUTP ketat peraturan


  • Massa
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Pelajar sekolah dilarang untuk dijadikan sebagai konten atau kandungan di media sosial. — Gambar hiasan/The Star

FORUM Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) menegaskan bahawa tindakan tegas perlu diambil susulan isu menjadikan kanak-kanak sebagai konten atau kandungan di media sosial.

Pengerusi CMCF, Rafiq Razali berkata, tanggungjawab dan etika digital khsusunya untuk penghasilan kandungan dalam kalangan pendidik harus dititikberatkan.

Menurutnya, dalam era kemajuan teknologi pendidikan yang semakin pesat, penggunaan pelbagai medium pendidikan secara meluas menjanjikan manfaat yang besar kepada para pelajar dan guru.

BACA LAGI: 400,000 murid ada masalah pembelajaran 3M, ibu bapa rasa guru lemah ajar subjek teras

Teacher, Leong Wai Ting teaching her students by using IT gadgets at a classroom.AZHAR MAHFOF/The Star  (1/8/2018)

Dunia digital yang semakin berkembang pesat dalam dunia pendidikan. — Gambar hiasan/The Star

Akses digital kepada pelbagai sumber pembelajaran juga dikatakan memberikan kelebihan dalam memperkasakan proses pembelajaran.

"Ianya bagi mengelakkan situasi yang mungkin boleh mencetuskan perbalahan dan mengganggu pembelajaran pelajar itu sendiri.

"Jika mengabaikan prinsip tersebut, berkemungkinan isu keselamatan para pelajar turut terjejas memandangkan identiti mereka yang dijadikan sebagai kandungan itu terdedah kepada umum secara dalam talian," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Jelasnya, perkara itu bukan sahaja membuka aib pelajar, tetapi turut mengundang kepada risiko jenayah yang lain antaranya, kes penculikan, buli siber dan yang paling ketara apabila melibatkan emosi pelajar yang seharusnya diberi keutamaan.

"Kod Kandungan mentakrifkan perlindungan kanak-kanak termasuklah kandungan yang memberi perhatian sewajarnya terhadap kebajikan kanak-kanak pada setiap masa.

BACA LAGI: 'Fokus EQ daripada IQ', KPM disaran kaji semula sistem pembelajaran kanak-kanak bawah 7 tahun

Screenshot (498)

Rafiq yang menekankan perkara tersebut.

Berdasarkan Kod Kandungan Bahagian 10, Perenggan 4.0 (b), segala usaha untuk memastikan apa jua kandungan yang disediakan mestilah tidak akan menyebabkan, menggalakkan atau mempromosikan kecederaan fizikal dan emosi, penderaan atau mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya moral.

Rafiq berkata, guru tidak seharusnya menyiarkan pelajar mereka sebagai kandungan, lebih-lebih lagi tanpa kebenaran ibu bapa mereka.

"Perbuatan tersebut bukan saja merugikan kedua belah pihak, tetapi boleh dianggap sebagai pencerobohan privasi untuk pelajar dan keluarga mereka.

"Dengan mengambil contoh kandungan tular di media sosial yang melibatkan guru dan pelajar, seharusnya perlu ada langkah proaktif bagi menangani penularan tersebut daripada terus berleluasa.

"Ini sudah pasti untuk menjaga nama baik sekolah atau pun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) daripada diberi gambaran negatif dalam masyarakat," katanya.

Selain itu, ia termasuk mengekang penyebaran maklumat tidak tepat di media sosial membabitkan sekolah, guru dan pelajar supaya tidak menjadi tohmahan dan cercaan orang ramai.

Perguruan dianggap sebagai satu kerjaya yang mulia dan penting dalam membentuk masa depan pelajar.

Screenshot (497)

Tindakan undang-undang itu digesa bago memelihara imej tenaga pengajar Malaysia. — Gambar hiasan/The Star

Demi memelihara imej dan integriti kerjaya guru tetap terpelihara, mereka perlu menerapkan nilai dan etika untuk memastikan pengalaman pendidikan yang bermakna dan positif.

Pada masa sama, CMCF turut menyokong gesaan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya pelaksanaan peraturan dan penguatkuasaan undang-undang diperketat bagi mengekang masalah itu daripada terus berlaku kerana ia berupaya memberi implikasi negatif terhadap kualiti guru.

Ia juga bertujuan untuk mencegah para guru daripada menggunakan media sosial untuk tujuan peribadi semasa waktu bekerja.

Tambah Rafiq lagi, tindakan berhemah dan proaktif dalam menguruskan kandungan di media sosial adalah penting terutama dalam konteks hubungan antara guru, pelajar dan KPM demi memelihara sistem pendidikan di Malaysia.

"Ini merupakan langkah yang strategik dalam era digital untuk menjaga integriti dan reputasi setiap pihak yang terlibat.

"Kesedaran etika digital dan perlindungan kanak-kanak merupakan tanggungjawab bersama.

"Kolaborasi antara guru, ibu bapa, dan pihak berkepentingan adalah penting untuk menciptakan lingkungan pendidikan yang holistik dan memberikan manfaat maksimum kepada pelajar," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram