Sambar penyerang Liga M3, anak jati bukan 'cokia' buka mata Kedah serata-rata


  • Podium
  • Jumaat, 15 Mac 2024

Afeeq Iqmal kembali ke Kedah selepas semusim bersama Manjung City. — KDA FC

MUSIM 2024/2025 menjadi satu detik yang mencabar buat Kedah Darul Aman FC terutamanya dari segi kewangan yang kurang memberangsangkan.

Ia memaksa Kedah melepaskan kesemua pemain import mereka pada musim lalu dan bermula semula untuk memastikan saingan tetap diberikan dalam Liga Super.

Sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana kelab di negara kita untuk menggunakan pemain import terutamanya di bahagian serangan. Lazimnya, kelab-kelab akan mendapatkan penyerang import hinggakan mereka menjadi punca pemain tempatan tidak dapat beraksi.

Namun kini, Kedah seolah-olah mengambil jalan yang berbeza apabila mengutamakan anak jati di bahagian tersebut. Sebelum ini, mereka meminjam penyerang dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Syafiq Ahmad.

Kini mereka mendapatkan pula pemain dari kelab Liga M3, Afeeq Iqmal yang sebelum ini beraksi buat Manjung City FC di Perak.

BACA LAGI: Bukan Nurullaev, ini sejarah pemain termahal pernah sertai Kedah, JDT dan Perak

BACA LAGI: Sudah belanja sakan, masih ada ruang trio dari JDT, TFC dan Selangor tukar angin ke Borneo

Penyerang berusia 25 tahun itu direkrut oleh Nafuzi Zain sebagai usaha menambah sengat di bahagian serangan. Lebih menarik, kehadirannya adalah kepulangan semula ke Kedah selepas anak jati kelahiran Baling itu pernah mewakili Sang Kenari pada musim 2021 hingga 2022.

Dengan kepulangan semula Afeeq ia disambut baik oleh penyokong Kedah yang berasakan itulah yang perlu dilakukan oleh Sang Kenari dengan mengutamakan bakat tempatan.

Walaupun memang akan ada penyerang import menyertai kelab, tetapi falsafah anak jati janganlah dilupakan dalam memburu kejayaan.

"Penyerang tempatan saja kita tahun ni, dengar macam pelik tapi ini yang kita mahu. Ketengahkan bakat-bakat muda tempatan, janji ada yang pandai hantar bola," kata penyokong bernama Azwan Abd Rahman.

"Kalau semua penyerang tempatan, itu patut penyokong sokong 100 peratus. Produk Kedah bukannya 'cokia' (tiada kualiti), banyak sekolah hasilkan ramai pemain padu-padu," ujar Khairil Azmin pula.

"Pulun Afeeq Iqmal pulun, buat bagi boleh jangan biarkan (peluang). Biar jasa jadi kenangan," komen Farid Komando penuh semangat.

"Ayuh anak Kedah serata-rata, mari kita kembalikan kegemilangan dulu, biar jasa jadi kenangan," tulis Muhammad Muaz pula.

Kedah bagaimana pun dijangka akan membawa masuk penyerang import iaitu Sony Norde bagi menguatkan barisan serangan.

Seandainya benar, diharap ia tidak akan merencatkan peluang Afeeq untuk mendapatkan minit serta membantu Kedah apabila beraksi di padang kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram