TINDAKAN sekumpulan individu yang dengan tamak menangkap ikan dengan jumlah agak luar biasa seperti tular dalam satu video sejak Ahad menimbulkan kecaman warganet.
Berdasarkan klip berkenaan, beberapa lelaki dilihat tanpa segan silu meraikan kejayaan mereka mendapatkan jumlah tangkapan ikan yang cukup banyak dalam kejadian dipercayai di Sungai Singor, Gerik, Perak.
Lebih menyedihkan, antara ikan yang diperoleh itu termasuk ikan kelah, iaitu sejenis spesis hidupan air yang terancam.
Untuk rekod, ikan kelah yang merupakan spesis ikan air tawar dikategorikan sebagai haiwan terancam di Malaysia dan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76).
Meskipun harga jualannya mencecah ribuan ringgit dan mendapat permintaan di pasaran, jumlah populasinya dilaporkan semakin menurun.
Difahamkan, harganya yang mampu mencecah lebih RM500 sekilogram membuatkan spesies berkenaan menjadi buruan ramai pihak.
Menerusi info dikongsikan di media sosial, aktiviti tangkapan berkenaan juga disyaki dilakukan dengan menggunakan bom.
"Ada pemancing datang selepas itu jumpa banyak ikan mati. Semua timbul. Kalau check video lain, sisik ikan pun cantik, takkanlah dia orang guna jaring?" soal Mohd Faaez Zainal.
BACA LAGI: Ibu bapa terasa kenaikan belanja persediaan sekolah
BACA LAGI: Kurang sebulan tarikh tamat pendaftaran, ada lagi langsung tak tahu pasal PADU
Di ruangan komen, rata-rata warganet melahirkan kekesalan atas tindakan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
"Habis ekosistem hutan kita. Dibom oleh puak ni," tulis Mat Fared.
"Kesian ikan yang kecil-kecil semua mati. Habis belako ikan kelah," kata Ezani Ismail.
"Manusia tamak macam ni la. Jenis tak fikir boleh pupus habis populasi ikan," ujar Ahmad Zaim Omar.
Dalam pada itu, netizen turut meminta supaya pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kumpulan berkenaan sekiranya didapati melakukan kesalahan di bawah undang-undang.
"Bukti dah ada, boleh buat laporan," tulis May Tuck.
Sementara itu, Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan pihaknya akan menjalankan berhubung insiden berkenaan.
Ketua pengarahnya, Datuk Adnan Hussain dilaporkan berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan mengumpul maklumat berkaitan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.
“Perkara itu amat mendukacitakan kerana ada pihak rakus mengeksploitasi sumber perikanan tanpa kawalan dan menggunakan kaedah yang tidak sepatutnya.
“Kita memandang serius perkara itu walaupun tiada maklumat jelas berhubung kaedah tangkapan, lokasi dan bila kejadian berlaku. Kita sedang menilai tindakan bersesuaian berhubung perkara ini," katanya.
Difahamkan, kumpulan lelaki yang tular dalam video berkenaan dan didengar bercakap menggunakan loghat Pantai Timur terdiri sebuah kumpulan geng kenderaan pacuan empat roda (4x4). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram