[VIDEO] Bukan saja-saja minta tolong, pemuda OKU berkerusi roda minta maaf susah nak bayar masa isi minyak


  • Massa
  • Ahad, 10 Mac 2024

Dua kali terkena.... Fadelize (tengah) meluahkan rasa kecewa dengan kemudahan dan layanan yang diberikan oleh pekerja di sebuah stesen minyak yang berlokasi di Green Road dekat Kuching pada Sabtu.

KEMUDAHAN untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini dilihat masih belum mencukupi dan mencapai standard ditetapkan.

Malah, kemudahan asas untuk golongan OKU masih jauh daripada sempurna dan laluan untuk OKU berkerusi roda tidak banyak di bangunan awam atau premis kedai.

Jika ada pun mungkin terlalu curam dan berbahaya.

Pada Sabtu, seorang pengguna Facebook, Fadelize Givan II meluahkan rasa kecewa ekoran tiada kemudahan bagi OKU yang berkerusi roda di sebuah stesen minyak yang berlokasi di Green Road dekat Kuching, Sarawak.

Tambahnya lagi, pekerja di premis tersebut juga kurang membantu sehingga menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan kerusi roda dan mengisi minyak kenderaannya sendiri.

"Minta maaf kepada mana-mana pihak stesen minyak. Saya muat naik video ini bukan suka-suka dan bukan dari keegoan hati sendiri.

"Tetapi perkara ini sudah dua kali terjadi pada saya di lokasi yang sama. Jika saya orang yang normal saya tak minta pertolongan untuk mengisi minyak," katanya.

BACA LAGI : OKU kerdil tagih simpati kerajaan tangani isu pekerjaan dan pengangkutan

BACA LAGI : Pekerja sistem kad di NU Sentral 'buat bodoh' layan pelanggan OKU, wanita geram nasib lelaki berkerusi roda tidak terbela

Tambahnya lagi, golongan OKU sepertinya juga sukar membuat pembayaran di kaunter ekoran tempat tersebut tidak mesra OKU.

"Agak sukar bagi kami yang menggunakan kerusi roda untuk membuat pembayaran di kaunter.

"Bukan minta tolong sesuka hati kerana kami ada sebab munasabah dan kereta banyak menunggu di belakang.

"Minta maaf dari saya untuk pihak stesen minyak berkenaan jika menyusahkan urusan anda. Kami hanya OKU yang ingin berdikari tetapi disebabkan kemudahan yang sukar bagi pergerakan kami sebab itulah kami minta pertolongan," luahnya.

Dalam perkembangan lain, wakil daripada stesen minyak berkenaan sudah tampil memberikan permohonan maaf kepada lelaki tersebut.

Menurutnya, pada waktu kejadian pihaknya kekurangan pekerja dan sedang melakukan kerja pemeriksaan keselamatan minyak.

"Mohon maaf daripada pihak kami sekiranya servis atau kemudahan yang ditawarkan kurang memuaskan.

"Kami hanya ada dua orang staf yang bekerja dan pada waktu kejadian, mereka sedang melalukan proses 'dipping' minyak," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram