[VIDEO] Ulang tahun ke-22 gadis bertukar tragedi, wanita dibunuh 'Tinder date'


  • Benua
  • Isnin, 11 Mac 2024

Kempson dilihat menaiki lif sambil menyorong dua bagasi pakaian menggunakan sebuah troli sebelum keluar dari hotel tanpa kelibat Grace. — Agensi

TINDER adalah aplikasi janji temu dalam talian global yang membolehkan individu bertemu orang baharu dan meluaskan rangkaian sosial.

Bagaimanapun tidak semua pencarian di laman sosial itu memiliki pengakhiran yang baik.

Begitulah yang berlaku ke atas seorang pengembara dari Britain bernama Grace Emmie Rose Millane.

Kegembiraannya bertemu seorang lelaki yang dikenali melalui platform itu bertukar tragedi selepas dia dilaporkan dibunuh oleh pasangan Tindernya.

Lebih malang, graduan dari Universiti Lincoln itu dibunuh pada malam ulang tahun kelahirannya yang ke-22.

Ibu bapa Grace mulai bimbang selepas dia tidak membalas ucapan selamat hari lahir yang mereka hantar pada 2 Disember 2018.

Polis menjalankan siasatan selepas mangsa dilaporkan hilang oleh ibu bapanya tiga hari kemudian.

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki mati kejung dalam tangki septik gara-gara mahu intai guru sekolah asrama

BACA LAGI : [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

Suspek, Jesse Shane Kempson, disabitkan dengan kesalahan membunuh Grace sewaktu kedua-duanya berjanji temu di Auckland, New Zealand pada Disember 2018.

Menurut laporan antarabangsa, Jesse dan Grace pada awalnya bertemu di beberapa bar sebelum mendaftar masuk di sebuah hotel.

Pergerakan mereka di kawasan hotel termasuk di dalam lif dirakam oleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan.

Bagaimanapun, menerusi klip tersebut, tidak berapa lama kemudian Kempson dilihat menaiki lif sambil menyorong dua bagasi pakaian menggunakan sebuah troli sebelum keluar dari hotel tanpa kelibat mangsa.

Kempson kemudian memasukkan beg pakaian itu ke dalam kenderaan yang disewanya pada hari kejadian.

Dia dilaporkan memandu kereta ke pinggir bandar di Waitakere Ranges dan bertindak menanam wanita berkenaan.

Lelaki tersebut juga sebelum itu pernah dilihat membeli bagasi pakaian dan penyodok di sebuah kedai.

importedImage358769_header

Grace Emmie Rose Millane dibunuh pada malam ulang tahun kelahirannya yang ke-22. — Agensi

Ketika perbicaraan, dia mengakui bahawa salah satu beg pakaian itu mengandungi mayat Grace yang dilipat dan dalam keadaan bogel.

Kempson mendakwa bahawa wanita itu mati semasa melakukan hubungan seks atas dasar suka sama suka.

Pada Februari 2020, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dengan tempoh minimum tanpa parol selama 17 tahun atas kesalahan membunuh Grace.

Kempson memfailkan rayuan terhadap sabitan kesalahannya, namun ditolak Mahkamah Rayuan New Zealand pada 18 Disember 2020.

Kempson juga didapati bersalah melakukan jenayah seks ganas terhadap dua wanita lain pada Oktober dan November 2020. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram