PENGUMUMAN kerajaan yang bersetuju untuk meneruskan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang dimansuhkan sejak 2018 hangat diperkatakan masyarakat negara ketika ini.
Lebih mencuri perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kaedah latihan program kali ini akan sedikit berbeza dengan pelatih akan menjalani latihan di kem tentera.
Menerusi laporan media, beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan PLKN 3.0 akan merangkumi dua fasa, dengan fasa pertama membabitkan penyertaan pelajar tingkatan empat di sekolah menerusi badan beruniform.
"Mereka yang selesai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dilatih dan diambil seperti yang disebut sebagai latihan fasa kedua. Ini lebih kepada latihan disiplin dan ketenteraan.
"Itu sebab dia punya cadangan supaya pusat latihan ini diadakan di kem tentera. Kita ada Pusat Latihan Askar Wataniah sebanyak 13 di seluruh negara serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) yang dapat menampung latihan untuk satu tahun sekurang-kurangnya 4,000 orang," katanya.
Mohamad Hasan menegaskan kerajaan enggan PLKN kali ini menelan belanja yang banyak, sebaliknya memberikan pulangan baik kepada modal insan. — Bernama
Sepanjang program PLKN dilaksanakan dalam beberapa tahun terdahulu, beberapa isu hangat dan kontroversi kekal segar dalam ingatan masyarakat sehingga ke hari ini.
Tidak dinafikan bahawa PLKN sememangnya bertujuan bagi menanamkan sifat disiplin dan kenegaraan tinggi dalam kalangan pelatih yang terpilih untuk menyertainya namun, ia juga tidak terlepas daripada kes bersifat jenayah mahupun spekulasi yang timbul dalam dewan politik negara.
Berikut merupakan lima kes yang terpalit sepanjang program berkenaan dilangsungkan sebelum ini.
1. Pelatih didakwa bunuh rakan asrama
Seorang pelatih PLKN Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Rompin, Pahang pernah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan membunuh rakannya di asrama kem tersebut pada 22 September 2013.
Remaja lelaki berusia 17 tahun yang berasal dari Kampung Seri Makmor, Pagoh, Muar itu didakwa membunuh Muhammad Suhaimi Norhamidi, 18, antara pukul 1.30 tengah hari dan 10.30 malam di dorm L1C dan L2C kem berkenaan.
Lima pelatih lain turut dihadapkan di mahkamah sama terhadap kesalahan sengaja mendatangkan kecederaan kepada Muhammad Suhaimi.
Pusat PLKN Kem Pinggiran Pelangi, Muadzam Shah, Rompin, Pahang pernah terpalit dengan kes pembunuhan pada 2013. — Facebook
Mohd Firhan Hafizi Ismail, 23, dari Bukit Nikmat, Jerantut, Pahang bersama dua lagi pelajar juvana berusia 17 tahun dari Parit Jawa, Muar, Johor dan Kampung Tanjung Pahang, Endau, Rompin didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada pukul 1.30 tengah hari di dorm L1C kem tersebut.
Mohd Nazeri Mustafa, 22, dari Bandar Indera Mahkota, Kuantan dan seorang pelatih berusia 18 tahun yang berasal dari Jalan Beserah, Kuantan pula didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap mangsa pada pukul 10.30 malam pada hari sama.
Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri oleh rakannya pada pukul 12.04 tengah malam pada 23 September di bilik air asrama kem berkenaan.
2. PLKN satu pembaziran
Turut menerima pelbagai kritikan serta kecaman dalam kalangan ahli politik, kerajaan pernah didesak supaya menghentikan program tersebut selepas ia disifatkan sebagai pembaziran terbesar negara satu ketika dahulu.
Perkara itu diluahkan Exco Pemuda Amanah, Ahmad Fadli Umar Aminolhuda berkata, dana yang diperuntukkan untuk PLKN boleh disalurkan untuk menaja pelajar melanjutkan pelajaran di luar negara.
Ahmad Fadli Umar Aminolhuda merupakan antara individu yang lantang bersuara soal pembaziran sepanjang pelaksanaan program PLKN. — Awani
"PLKN telah memakan belanja tahunan tidak kurang RM600 juta setahun. Apa maknanya program yang dilihat gagal dan jelas membazir selain dipenuhi kontroversi-kontroversi memualkan seperti anak luar nikah, rogol dan kes bunuh akibat buli yang dianggarkan lebih daripada 10 kes boleh dikekalkan peruntukan sedemikian banyak.
"Kami mendesak supaya kerajaan menghentikan terus PLKN dan mengembalikan semula hak biasiswa ke luar negara kepada para pelajar khususnya kepada 744 penerima ‘bursary’ dan lepasan SPM," katanya menerusi kenyataan pada 2015.
3. 'Sekolah Pemimpin Masa Hadapan' ganti PLKN
Kerajaan pada 2018 pernah melaksanakan program 'Sekolah Pemimpin Masa Hadapan' (Malaysia Future Leaders School) bagi menggantikan PLKN.
Keputusan itu dibuat selepas PLKN mendapat tentangan hebat daripada masyarakat serta ahli politik yang menganggap ia penyumbang kepada kerugian negara.
Justeru, segala kekurangan dalam program itu cuba diperbaharui menerusi pengenalan model baharu oleh bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong.
Program Sekolah Pemimpin Masa Hadapan' (Malaysia Future Leaders School) dilaksanakan bagi menggantikan PLKN. — Facebook
Katanya, nisbah pelajar yang akan dipilih dicadangkan terdiri daripada 60 peratus pelajar yang mempunyai pencapaian akademik dan kokurikulum yang tinggi, manakala 40 peratus adalah pelajar yang perlukan perhatian, di kalangan belia-belia berisiko.
Namun, keberkesanan program itu dikatakan gagal mendatangkan hasil seperti yang dirancang dan ia terus terkubur selepas wabak Covid-19 menyerang dunia pada 2020.
4. Kes liwat pelatih PLKN
Selain daripada kes bunuh, isu liwat juga turut terpahat dalam sejarah penubuhan PLKN apabila seorang pelatih di daerah Setiu, Terengganu mendakwa menjadi mangsa kerakusan rakannya pada 2015.
Mangsa yang berusia 18 tahun ketika itu mendakwa telah beberapa kali menjadi mangsa liwat namun ia tidak diketahui oleh sesiapa kerana suspek bijak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran rakan lain.
Turut menerima ugutan serta ancaman daripada si pelaku jika melaporkan perkara itu, namun mangsa yang tidak tahan menjadi pemuas nafsu kemudiannya nekad membuat laporan di Balai Polis Penarik, Terengganu pada 13 Februari 2015.
5. Keadaan kem PLKN kotor, menjijikkan
Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem White Resort, Balik Pulau, Pulau Pinang pernah mencetuskan kekecohan susulan keadaan di situ didakwa kurang memuaskan dan kotor.
Pada 2013, kira-kira 200 pelatih dilaporkan berkumpul dengan beg pakaian masing-masing dan sepakat mahu keluar dari kem berkenaan kerana tidak puas hati dengan keadaan tempat penginapan dan penyediaan makanan di kem tersebut.
Beberapa pelatih PLKN di Kem White Resort, Balik Pulau mendakwa bilik penginapan di situ dalam keadaan kotor. — Awani
Dakwaan pelatih di situ mengatakan bahawa mereka terpaksa tidur di atas katil yang rosak, tilam berkulat, dan bantal dengan kesan kotoran selain kemudahan tempat mandi juga tersumbat dan berada dalam keadaan menjijikkan.
Situasi itu mendapat perhatian sebilangan ibu bapa pelatih yang kemudiannya berkumpul di perkarangan kem tersebut untuk membawa pulang anak mereka.
Justeru, satu kajian terperinci perlu dilaksanakan pihak kerajaan agar isu-isu di atas tidak berulang kembali dengan pengenalan semula PLKN 3.0 kelak.
Setiap masalah yang berlaku perlu dijadikan teladan serta pengajaran agar masyarakat khususnya generasi baharu lebih terhindar daripada sebarang kelakuan jenayah mahupun kontroversi yang berlaku pada tahun terdahulu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram