[VIDEO] Boleh mohon penangguhan sehingga berusia 35 tahun, Kementerian Pertahanan jawab kekeliruan had umur pelatih PLKN 3.0


  • Primer
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Di bawah PLKN 3.0, pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran dan sekali gus membawa ia dibuat berdasarkan garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan latihan. — Gambar hiasan

KEMENTERIAN Pertahanan tampil memberikan penjelasan berhubung penetapan had umur bagi pelatih di bawah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, ia memaklumkan bahawa kerajaan sebelum ini bersetuju memperkenalkan semula PLKN menerusi kaedah baharu selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628).

Menurutnya, di bawah PLKN 3.0, pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran dan sekali gus membawa ia dibuat berdasarkan garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan latihan.

"Sebagai contoh, jika PLKN 3.0 dilaksanakan pada tahun 2024, hanya remaja yang dilahirkan pada tahun 2007 (berusia 17 tahun) akan dipanggil untuk menjalani latihan PLKN.

“Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan,” ujar kenyataan itu.

Kementerian Pertahanan menambah, sekiranya pelatih dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.

Ujarnya, had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun.

"Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN 3.0," katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini memaklumkan bahawa program PLKN 3.0 yang akan melibatkan dua fasa itu disasarkan kepada golongan belia antara 16 hingga 35 tahun.

Fasa 1 membabitkan pelajar Tingkatan Empat melalui silibus Kementerian Pendidikan (KPM) yang mengandungi silibus kokurikulum seperti kadet polis, bomba dan pengakap akan diperkasakan pada peringkat itu.

Bagi fasa 2 pula, ia akan memerlukan peserta menjalani latihan selama 45 hari dengan 90 peratus daripada aktivitinya melibatkan latihan asas ketenteraan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram