[VIDEO] Nenek 104 tahun meninggal dunia lepas 8 hari cipta rekod penerjun udara tertua di dunia


  • Benua
  • Khamis, 12 Okt 2023

Tangkap layar video memaparkan aksi Dorothy membuat terjunan udara pada 1 Oktober lalu dikongsikan oleh Syarikat Skydive Chicago di laman media sosial.

SEORANG wanita warga emas yang baru mencipta sejarah dengan membuat terjunan udara pada usia 104 tahun dilaporkan meninggal dunia baru-baru ini.

Menurut perkongsian rakan rapatnya, Joe Conant, Dorothy Hoffner menghembuskan nafas terakhirnya di Rumah Orang Tua di Brookdale Lake View, Amerika Syarikat pada Ahad lalu.

Berdasarkan laporan, kematian mendiang dipercayai tiada kaitan denagn terjunan tersebut, sebaliknya dia ditemukan meninggal dunia semasa tidur.

Sebelum ini, aksi Dorothy membuat terjunan udara pada 1 Oktober lalu dikongsikan oleh Syarikat Skydive Chicago serta didokumentasikan Chicago Tribune.

Sementara itu, Syarikat Skydive Chicago menerusi satu kenyataan memberitahu turut berdukacita atas pemergian mendiang.

"Kami amat berdukacita dengan pemergian Dorothy dan berasa berbesar hati dapat membantunya merealisasikan hasrat untuk mencipta rekod sebagai penerjun tertua di dunia," ujarnya.

Beberapa hari lalu, Syarikat Skydive Chicago memuat naik video nenek tersebut berjaya melakukan aksi terjunan itu, sebelum ia menjadi tular di media sosial.

"Sungguh menakjubkan dapat membantu rakan kami yang berusia 104 tahun, Dorothy Hoffner menjadi individu tertua di dunia melakukan terjunan payung terjun.

"Dia mengingatkan kita semua bahawa usia hanyalah nombor," katanya menerusi kapsyen video berkenaan.

Semasa berada dalam pesawat tersebut, Dorothy dilihat memakai sut pakaian payung terjun dan mula melakukan terjunannya.

"Ia sangat menyeronokkan dan damai apabila payung terjun terjatuh atas anda selepas mendarat.

"Anda boleh melihat seluruh kawasan luar bandar ini. Ia sangat cantik sekali," katanya kepada CNBC Make It.

Meskipun rekod terjunannya masih menunggu pengesahan rasmi daripada organisasi Guinness World Record, Dorothy membuktikan umur hanyalah sekadar angka dan berjaya memenuhi permintaan 'terakhirnya' untuk menjadi penerjun tertua di dunia.

Bagaimanapun, difahamkan terjunan itu bukanlah kali pertama dilakukan nenek berasal dari Amerika Syarikat tersebut.

Dorothy pernah melakukan terjunan pertamanya sewaktu menyambut hari lahirnya yang ke-100. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram