SEORANG anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) dari pasukan Komando Pasukan Tindakan Pantas (Kopasgat) dilapor patah pinggang selepas payung terjunnya gagal berfungsi ketika sedang melakukan latihan terjunan bebas, lapor laman berita Detik pada Khamis.
“Askar itu segera menerima bantuan daripada pasukan penyelamat dan dia kemudian dirujuk ke hospital terdekat di Pangkalan Udara Sulaiman,” kata Ketua Penerangan Kopasgat, Kolonel Gunawan.
Gunawan menjelaskan bahawa anggotannya itu mengalami kecederaan yang memerlukan dia dirujuk ke Hospital TNI Dr M Salamun di Bandung, Indonesia.
Menurut beliau, bagaimanapun tentera terbabit kini dalam keadaan stabil dan sudah sedarkan diri.
Gunawan memaklumkan bahawa askar itu mengalami patah tulang pinggang dan beliau bersyukur kerana keadaan mangsa kini stabil.
“Patah tulang itu berkemungkinan besar berlaku kerana dia jatuh dengan pantas,” katanya.
Anggota TNI itu terjun daripada sebuah pesawat pada ketinggian 487 meter, namun payung terjun yang dipakai gagal terbuka di ruang udara.
Rakaman memaparkan detik kegagalan payung terjun itu terbuka tular di media sosial.
Kejadian itu berlaku di Bandung, Jawa Barat, Indonesia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram