[VIDEO] Tak serik kes pukul sampai maut di Kajang, tular satu lagi kejadian tumbuk, terajang pemandu di Cheras


  • 112
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Seorang lelaki dilihat dihampiri oleh beberapa orang lelaki yang kemudiannya bertindak agresif dengan memukul dan menendangnya.

BELUM reda isu pukul hingga maut dalam kejadian kemalangan di Kajang, Selangor pada pertengahan bulan lalu, kini tular satu lagi video memaparkan insiden lebih kurang serupa.

Meskipun tidak melibatkan kehilangan nyawa, dalam kejadian terbaharu itu, seorang pemandu e-hailing dilaporkan tercedera selepas diserang oleh tiga lelaki dalam kejadian di Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, insiden berkenaan dipercayai berlaku selepas pemandu terbabit dikatakan bertindak biadab selepas hampir melanggar seorang penunggang motosikal ketika mengundurkan kenderaannya.

Akibat daripada itu, penunggang motosikal terlibat dikatakan mengangkat tangan menunjukkan isyarat tidak berpuas hati sebelum beredar dari lokasi.

"(Bagaimanapun) pada masa sama, mangsa didatangi tiga lelaki warga tempatan dari gerai berdekatan yang memarahinya dengan mendakwa mangsa bersikap biadap terhadap penunggang motosikal terbabit,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI : Isu 'double park' menjadi-jadi, ramai beri idea apa nak buat elak pemilik kenderaan kena sidai

BACA LAGI : Proton Saga ada vest polis 'double park' di Ipoh dicari, perakam gambar diminta tampil beri kerjasama

Zam Halim berkata, ketiga-tiga suspek kemudiannya terus memukul mangsa sehingga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa.

Beliau berkata, pergaduhan yang tercetus sekitar pukul 6.30 petang Isnin itu bagaimanapun dileraikan orang awam yang berada di lokasi.

Menurut Zam Halim, polis kini sedang memburu tiga suspek yang terlibat dalam insiden tersebut dengan kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan video tular mengenai kejadian terbabit, seorang lelaki dilihat dihampiri oleh beberapa orang lelaki yang kemudiannya bertindak agresif dengan memukul dan menendangnya.

Akibat daripada serangan itu, mangsa juga dilihat hampir terlucut seluar.

Dalam kejadian pada 20 Februari lalu, seorang pemandu kereta maut selepas dipercayai dipukul sehingga mati oleh beberapa orang individu dalam kejadian di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor pada pukul 9.54 malam.

Kejadian tragis itu dilaporkan berlaku selepas mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga terbabit kemalangan dengan penghantar makanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram