[VIDEO] Stesen minyak di Batu Gajah kena rompak, pekerja wanita terbaring berlumuran darah


  • Tular
  • Sabtu, 09 Mac 2024

Seorang pekerja wanita cedera parah dan dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah.

BEBERAPA pekerja di sebuah stesen minyak berhampiran Jalan Pusing, Batu Gajah, Perak berdepan detik cemas selepas premis tersebut dirompak pada Sabtu.

Lebih mengerikan, dalam kejadian yang berlaku sekitar 6.45 pagi itu, perompak dipercayai bertindak ganas dengan mencederakan mangsa.

Berdasarkan beberapa gambar kejadian yang dikongsikan, seorang pekerja wanita cedera parah dan dilihat terbaring dalam keadaan berlumuran darah, manakala barangan di dalam stesen itu turut berselerakan.

Susulan insiden samun bersenjata itu, pihak polis giat mengesan dua suspek dipercayai lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 20-an.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Superintendan Zolkifli Hanafiah dilaporkan berkata, dua pekerja stesen minyak tersebut iaitu seorang wanita tempatan berusia 52 tahun dan seorang lelaki warga Bangladesh, 26, mengalami kecederaan ringan di bahagian bibir dan kepala.

"Mangsa memaklumkan kedua-dua suspek menaiki motosikal jenis Yamaha 135LC dan Honda RSX 150. Salah seorang suspek masuk ke dalam stesen minyak berkenaan dengan mengacukan pisau kecil.

"Kedua-dua mangsa tidak mengendahkan arahan suspek hingga menyebabkan berlaku pergelutan. Suspek berjaya melarikan dua telefon bimbit dengan anggaran nilai sekitar RM500,” katanya.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat hantar bekalan ayam, pemandu dan kelindan maut di Laluan Gopeng-Simpang Pulai

Zolkifli memberitahu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa membuat rompakan.

Jelasnya, kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk menerima rawatan lanjut.

"Pekerja wanita berkenaan menerima empat jahitan di bahagian bibir, manakala pekerja lelaki menerima lapan jahitan di kepala.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram