DUA anggota polis antara empat mangsa yang masih hilang dalam insiden bot karam di Sungai Batang Baleh, berdekatan jeti Sekolah Kebangsaan (SK) Lepong Baleh, Kapit, Sarawak pada petang, Khamis.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintenden Rohana Nanu berkata, kejadian itu berlaku sewaktu kedua-dua anggota polis tersebut dalam perjalanan dari Kuching ke Ng Tulie, Kapit dengan mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram dan peledak - 1050rds.
Menurutnya, dua anggota polis yang masih hilang itu ialah Sarjan Jonathan Lambet dari cawangan Kebajikan dan Konstabel Iskandar Ibrahim dari cawangan Persenjataan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit.
BACA LAGI: [VIDEO] Tak sempat hantar bekalan ayam, pemandu dan kelindan maut di Laluan Gopeng-Simpang Pulai
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang tersebut, dua anggota polis bersama tiga lagi penumpang menaiki bot dari jeti SK Lepong Baleh ke Ng Tulie untuk menghantar bahan letupan berkenaan.
"Ketika sampai di tempat kejadian, bot tersebut membelok ke kiri sedikit menuju ke hulu sungai dan menempuh air yang berpusar, menyebabkan bot dinaiki terbalik dan karam ke dalam sungai.
"Seorang mangsa sempat diselamatkan oleh orang awam, manakala empat lagi belum ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelas Rohana, setakat ini, keempat-empat mangsa belum ditemukan dan pencarian disambung pada Jumaat.
Operasi pencarian mangsa bersambung pada Jumaat. — Facebook/ Buletin Kapit, Sarawak
Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Sibu, Andy Alie berkata, mangsa yang berjaya diselamatkan orang awam dikenali sebagai Moses Ngui, 47, manakala dua orang awam yang hilang dikenal pasti sebagai Amerson John Nain dan Jack Balan.
Saksi dilaporkan berkata, seramai lima penumpang menaiki bot fiber (dilengkapi enjin sangkut) 30 kuasa kuda, semasa kejadian berlaku.
Pasukan bomba membuat pencarian di permukaan air dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat, namun operasi terpaksa ditangguhkan atas faktor arus kuat dan keadaan mulai gelap.
Sementara itu, abang kepada salah seorang mangsa yang menggunakan nama Facebook Iqbal Hakim turut menitipkan doa agar adik dan mangsa lain ditemukan dalam keadaan selamat.
"Mohon doa kawan-kawan di Facebook semua untuk keselamatan adik saya, Iskandar Zulkarnain Ibrahim dan juga rakan sekerjanya.
"Semoga adik saya dan rakan yang lain segera ditemui dalam keadaan selamat dan baik-baik sahaja. Tabahkan hati dan banyakkan berdoa...ya ALLAH SWT, lindungilah adikku," doanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram