[VIDEO] Polis buru 2 lelaki berhelmet pura-pura beli barang, rakus ragut rantai emas pekerja di Jenjarom


  • Tular
  • Jumaat, 08 Mac 2024

Tangkap layar CCTV memaparkan dua lelaki yang terlibat dalam kejadian ragut di sebuah kedai di Sungai Rambai, Jenjarom, Selangor pada Khamis.

SEORANG wanita berputih mata selepas rantai emasnya diragut dua lelaki di sebuah kedai di Sungai Rambai, Jenjarom, Selangor pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Mohd Sufian Amin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada pukul 12.24 tengah hari pada hari sama.

"Salah seorang suspek telah menarik rantai leher miliknya hingga mangsa terjatuh ke lantai," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

BACA LAGI: Berjam-jam tak disedari sesiapa, 2 remaja bawah umur ditemukan terbujur kaku tepi motor di Kuching

BACA LAGI: Culas bayar sewa PPR, 'auto deduct' akaun bank antara cara baharu boleh dipertimbang

Terdahulu, menerusi video dimuat naik di Facebook Arif Danial, dua individu tersebut pada awalnya dilihat masuk ke kedai tersebut dan dikatakan berpura-pura beli barang sebelum menghampiri dan merentap rantai emas milik mangsa.

Pada masa sama, kelihatan berlakunya sedikit pergelutan di antara kedua-dua suspek dengan mangsa ketika kejadian.

Mangsa yang juga pekerja kedai itu cuba untuk mengejar suspek selepas menyedari rantai emasnya dilarikan.

Sementara itu, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika disabit kesalahan.

Pihak polis turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menganggu siasatan.

"Mana-mana individu yang menjadi saksi kejadian juga diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram