BUKAN pertama kali rasanya masalah melibatkan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Malaysia ini dibangkitkan.
Selain isu kekurangan parkir, terdapat juga masalah tunggakan sewa yang sebenarnya sudah kian lamanya masih belum selesai.
Perkara itu dikatakan berpunca daripada sikap sesetengah penyewa yang gemar menangguhkan bayaran dengan memberi pelbagai alasan.
Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sebelum ini mendedahkan terpaksa menanggung tunggakan sewa terkumpul berjumlah RM2.03 juta.
Ia susulan kegagalan penghuni dua penempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) melunaskan sewa bulanan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali dilaporkan berkata, dua PPR terbabit ialah Pangsapuri Rakyat Seri Perdana Paroi dan Rumah Pangsa Kos Rendah Lobak.
BACA LAGI: Derita 'parking' penduduk PPR yang tak berkesudahan
Masri Razali mendedahkan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah penyewa PPR.
BACA LAGI: Sikap degil penduduk, PBT 'buat bodoh' faktor tertinggi isu parkir PPR — Tinjauan Majoriti
Kedua-duanya dilaporkan membabitkan tunggakan sewa masing-masing sebanyak RM1.1 juta dan RM930,000.
Kebanyakan penyewa dikatakan memberi alasan tidak mampu membayar sewa bulanan kerana tiada pendapatan tetap walaupun kadar sewa yang ditetapkan adalah sebanyak RM150 sebulan.
PPR adalah satu program kerajaan untuk penempatan semula setinggan dan memenuhi keperluan tempat kediaman bagi golongan berpendapatan rendah.
Namun, masih ramai yang mengambil kesempatan kerana terdapat penyewa di PPR berkenaan dikatakan tinggal secara percuma selama dua dekad dengan tunggakan lebih RM30,000.
Penyewa PPR yang dikatakan banyak memberi alasan tidak mampu membayar sewa. — Gambar hiasan
Rentetan itu, rata-rata warga maya dilihat memberi pelbagai reaksi terhadap perkara tersebut.
Malah, ada juga yang memandang serius isu berkenaan dengan memberikan beberapa cadangan bagi menanganinya.
Tidak sanggup melihat masalah itu terus berlanjutan, pengguna akaun Facebook Norman Fernandez menyarankan agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penyewa yang gagal melunaskan bayaran.
“Usir penyewa yang tak bayar sewa atau duit penyelenggaraan. Mulakan dengan beberapa (penyewa) dan yang lain akan patuh,” katanya.
Selain itu, ada juga yang mencadangkan agar memberi had masa selama tiga bulan bagi golongan penyewa seperti itu.
Pihak berkuasa dicadangkan bertindak tegas dengan memberi notis selama tiga bulan kepada penyewa yang bermasalah. — Gambar hiasan
“Yang tak bayar tu bagi tempoh tiga bulan, kemudian suruh keluar. Cari penyewa yang benar-benar mahu duduk dan mampu bayar,” tulis Opah Ida Nst.
Bukan sekadar itu, pengguna akaun Ahmad Ibrahim Ahmad mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan cuba menggunakan sistem baharu untuk kaedah pembayaran sewa.
“Kena guna sistem baharu, kad debit atau kredit terus tolak daripada akaun bank untuk pembayaran,” tulisnya.
Mekanisme itu dirasakan boleh diteliti dengan kerjasama PBT dan institusi perbankan andai boleh dilaksanakan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram