[VIDEO] Warga emas antara 3 maut treler terbabas melintang tengah jalan di Pasir Gudang


  • 112
  • Rabu, 06 Mac 2024

Keadaan treler terbabit terbalik secara melintang di tengah jalan akibat kemalangan di KM18.8 di lebuh raya Pasir Gudang, Johor pada pukul 2.21 pagi Rabu.

TIGA individu termasuk seorang warga emas maut manakala dua lagi cedera dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer (KM) 18.8 di lebuh raya Pasir Gudang, Johor pada pukul 2.21 pagi Rabu.

Ketua Polis Daerah Johor Baru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kemalangan terbabit melibatkan sebuah treler dan tiga kereta masing-masing jenis Perodua Myvi, Perodua Alza dan Honda Civic.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila treler yang membawa kontena dalam perjalanan ke Pasir Gudang dari Tanjung Pelepas terbabas melintasi pembahagi jalan dan memasuki laluan bertentangan, di mana ia kemudiannya terbalik secara melintang di tengah jalan.

“Ini membawa kepada perlanggaran dengan tiga kereta yang datang dari arah Pasir Gudang,” katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: Miliki hak eksklusif Taylor Swift, PM Singapura tidak berniat cetus permusuhan serantau

BACA LAGI: [VIDEO] Keluang Man mula 'beraksi' April ini, peminat berpeluang jadi superhero di KidZania

Beliau berkata, mereka yang maut di tempat kejadian merupakan pemandu bagi dua kereta terlibat dan seorang penumpang.

“Pemandu lori dan kereta ketiga mengalami kecederaan parah dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan,” katanya sambil menambah mangsa maut berusia antara 30 dan 70 tahun.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram