[VIDEO] 'Tak sangka ini perbualan terakhir kita', abang pilu adik maut terbabas rempuh pembahagi jalan di Jambatan Pulau Pinang


  • Tular
  • Selasa, 05 Mac 2024

Tangkap layar kereta jenis Toyota Vios terbabas merempuh pembahagi jalan di Jambatan Pulau Pinang, Pulau Pinang pada Selasa.

ABANG pilu selepas mendapat tahu berita kematian adiknya yang terbabit dalam satu kemalangan di Jambatan Pulau Pinang, Pulau Pinang pada 11.30 malam Isnin.

Menerusi hantaran di Facebook, abang mangsa, Mohd Fuad Nafis tidak menyangka tragedi malang bakal menimpa adiknya, Mohammad Fazri dan memuat naik satu perbualan terakhir bersama adiknya yang berbaur keagamaan.

"Barangsiapa yang menginginkan kehidupan dunia dan akhirat hendaklah menyambung tali silaturahim dengan keluarga," kata Fuad kepada Fazri.

Fazri membalas, "Rasulullah bersabda, siapa yang tidak pandai bersyukur kepada manusia bererti dia belum bersyukur kepada ALLAH".

WhatsApp Image 2024-03-05 at 11.07.31 AM

Fuad turut meluahkan rasa sedihnya yang mendalam terhadap pemergian adiknya itu.

"Dengan penuh kesedihan yang mendalam, saya ingin mengumumkan bahawa adik kesayangan saya, Mohammad Fazri telah kembali ke penciptanya.

"Semoga rohnya mendapat tempat yang mulia di sisi ALLAH SWT. Mohon doa dari semua sahabat dan keluarga untuk memberikan kekuatan pada kami dalam menghadapi kehilangan ini," tulisnya.

Bapa Allahyarham merupakan seorang pesara polis yang baru bersara setelah 30 tahun berkhidmat di ibu pejabat polis daerah (IPD) Barat Daya, Pulau Pinang.

BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal

BACA LAGI: Sibuk urus 2 kerja tak halang Zarina cipta nama jadi pendaki wanita tunggal tawan gunung lebih 6,000 meter

Difahamkan, kemalangan itu terjadi apabila kereta jenis Toyota Vios yang dipandu mangsa, Mohammad Fazri merempuh pembahagi jalan dan terbabas di jambatan berkenaan.

Dalam pada itu, pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 12.20 pagi Selasa terus bergegas ke lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat mengambil masa selama sembilan minit bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang bagi tujuan bedah siasat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tokai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram