[VIDEO] Tular rakaman muka tenang sebelum dirempuh lori di LPT, arwah rupanya sukarelawan aktif kebajikan


  • Tular
  • Selasa, 05 Mac 2024

Tangkap layar video detik-detik akhir yang dirakam oleh mangsa sebelum kemalangan yang meragut nyawanya.

PADA hujung minggu lalu, terdapat sekurang-kurangnya dua kemalangan maut dilaporkan berlaku di Lebuh raya Pantai Timur (LPT 1) membabitkan peserta RXZ Fighter Gathering Kuantan 2024.

Dalam dua kejadian tersebut, kedua-dua mangsa terlibat nahas ketika sedang dalam perjalanan ke acara berkenaan yang terletak di Kuantan, Pahang.

Salah seorang penunggang meninggal dunia merupakan Mohammad Sharfie Sukri, 21, yang terlibat dalam kemalangan bersama sebuah lori.

Dilaporkan, mangsa yang bekerja sebagai pembantu jualan dan berasal dari Sabah itu maut selepas motosikal dinaikinya berlanggar bersama lori terbabit di Kilometer (KM) 159.6 LPT 1, di Kuantan, Pahang pada Sabtu.

Dalam pada itu, tular satu video di media sosial sejak Isnin memaparkan rakaman detik-detik akhir sebelum kemalangan diambil sendiri oleh Allahyarham.

Menerusi klip terbabit, Allahyarham dilihat membuat rakaman siaran secara langsung menggunakan kamera hadapan telefon pintarnya ketika sedang menunggang motosikal di lebuh raya terbabit.

BACA LAGI: [VIDEO] Hajat sertai acara RXZ tak kesampaian, penunggang maut terbabas di LPT1

Dalam video berkenaan, mangsa didapati membawa motosikal di laluan kiri lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, klip sama turut memaparkan sebuah lori juga pada awalnya didapati dipandu di lorong kanan tidak jauh daripada motosikal ditunggang arwah.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lori berkenaan kemudiannya dilihat menukar ke lorong kiri sebelum berlanggar dengan mangsa.

Beberapa saat sebelum perlanggaran berkenaan, arwah dilihat langsung tidak menunjukkan sebarang reaksi cemas meskipun lori berkenaan didapati begitu hampir dengannya.

Dalam pada itu, di ruangan komen, rata-rata daripada warganet melahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku.

photo1709602278

Mangsa yang terlibat dalam kemalangan di KM159.6 LPT 1, di Kuantan, Pahang maut akibat kecederaan parah. — Facebook

Pada masa sama, mereka turut mempersoalkan sama ada wujud kecuaian di pihak pemandu lori terbabit sehingga mencetuskan kemalangan maut berkenaan.

"Kenapa lori tu main langgar je, hon tu guna untuk apa," kata Red Snapper.

"Rakam video masa bawa motor betul salah. Tapi langgar macam itu sahaja memang gila la. Dari jauh kot," tulis TheNone18.

"Allah, sedihnya tengok video ni. Mungkin arwah nak update dekat family dia yang dia otw apa semua. Tiba-tiba ada beberapa saat sebelum arwah meninggal," kata im_cloudee.

"Sedih tengok arwah, arwah duduk lane kecemasan, sahaja, lori sapu dari kanan masuk lorong kecemasan sikit," tulis SlypppLyf.

Dalam pada itu, difahamkan Mohammad Sharfie merupakan seorang sukarelawan yang terlibat dalam kerja kebajikan bersama sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Sabah.

Perkara ini dikongsikan sendiri oleh NGO, Semporna Prihatin yang turut berkongsikan ucapan takziah atas pemergiannya.

"Mendapat perkhabaran sedih daripada semenanjung tentang kehilangan Salah satu sukarelawan kami, saudara Sharfie 21 tahun meninggal dunia semalam (Sabtu). Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali," tulis hantaran berkenaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Pamer gaya 'superman', polis buru sekumpulan penunggang tergolek di LPT1

Dalam pada itu, Ketua Polis Maran, Deputi Superintendan Mohd Zamri Mohd Zaber dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa terlibat dalam kemalangan di KM159.6 LPT 1, di Kuantan, Pahang itu maut akibat kecederaan parah.

Dalam kejadian tersebut, beliau berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor menuju ke acara pemotoran di Kuantan dengan menunggang motosikal Y15 dipercayai bergesel dengan sebuah lori jenis Scania.

Menurut Mohd Zamri, akibat daripada perlanggaran itu, mangsa tercampak ke atas jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 8.20 pagi.

Tambah beliau, hasil temubual dengan rakan-rakan mangsa di tempat kejadian mendapati semasa kejadian mangsa konvoi bersama 10 buah motosikal lain.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram