[VIDEO] 'Hilang sekejap darah dekat muka', terkejut acah-acah melintas di Batu Caves, risau sebijik scammer China


  • Tular
  • Isnin, 04 Mac 2024

Tangkap layar video tular memaparkan tindakan pejalan kaki terbabit yang melompat secara mengejut ke tengah jalan di Batu Caves pada Ahad.

SEORANG pemandu berdepan detik cemas selepas hampir terlibat kemalangan dengan seorang pejalan kaki yang secara tiba-tiba mengacah masuk ke tengah jalan dalam kejadian di Batu Caves, Selangor pada Ahad.

Klip rakaman insiden tersebut yang diambil menerusi kamera papan pemuka kenderaan terbabit dikongsikan sendiri oleh pemiliknya yang memuat naiknya di Group Facebook DashCam Owners Malaysia.

Berdasarkan video berdurasi lima saat itu, pemandu berkenaan dilihat sedang melalui sebuah persimpangan lampu isyarat sebelum seorang lelaki yang sedang berjalan di tepi mengacah melompat masuk ke bahagian tengah jalan

"Hilang sekejap darah dekat muka," tulis Fairul Khalid di hantaran Facebooknya yang berkongsikan kejadian tersebut.

BACA LAGI : Berdepan 'scam' palsukan kemalangan, ini yang patut anda lakukan

BACA LAGI : Lagi kejadian 'scam' palsukan kemalangan, kali ini di Skudai

Insiden berkenaan bagaimanapun difahamkan tidak mendatangkan sebarang kecederaan kepada mana-mana pihak.

Namun, di ruangan komen, rata-rata warganet menimbulkan kebimbangan terhadap perbuatan lelaki berkenaan yang disifatkan sebagai satu cubaan bagi mengambil kesempatan terhadap pemandu kenderaan terbabit.

Malah, mereka tidak menolak kemungkinan tindakan itu dibuat bagi membolehkannya mendapat ganti rugi sekiranya kemalangan berlaku, sama seperti trend pernah berlaku di luar negara.

"Dia nak cuba claim insurans scam ni, macam dekat negara luar," tulis Nazreen Hamid.

"Orang mainland (dari China) ke? Selalu nampak dari mainland je buat perangai macam ni," ujar Anan Ash.

"Budaya sana di bawa ke sini. Bahaya betul. Nak duit senang. Harap pihak berkuasa ambil tindakan," tulis Abbas Ibnu Saad.

"Baru nak scam, tapi tengok ada dashcam pula. Terus tak jadi," kata Adre Adon.

Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram