[VIDEO] Hajat sertai acara RXZ tak kesampaian, penunggang maut terbabas di LPT1


  • 112
  • Khamis, 07 Sep 2023

Tangkap layar insiden kemalangan membabitkan seorang penunggang yang terbabas di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

PEMBAIKAN laluan di Kilometer 211.2 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menjadi punca kematian seorang lelaki yang terbabas ketika menunggang di laluan terbabit pada Khamis.

Dalam kemalangan berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, Ahmad Emir Danial Ahmad Hamdan, 22, dari Kapar, Selangor difahamkan dalam perjalanan untuk menyertai sebuah acara motosikal 'RXZ Member' di Kuala Terengganu, Terengganu.

Namun, akibat kejadian itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125 dalam perjalanan dari Kapar ke Kuala Terengganu, Terengganu.

Menurutnya, ketika sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal lalu terbabas masuk ke laluan kiri yang sedang dalam pembaikan.

"Mangsa yang jatuh di tengah laluan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," lapor Sinar Harian.

Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, Pahang untuk proses bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram