[VIDEO] 'Berapa keluasan hutan kena tarah?', tsunami balak jejas penduduk, bunuh ikan di Sungai Katibas, Sungai Rajang


  • Massa
  • Isnin, 04 Mac 2024

Kejadian serpihan kayu hanyut di Sungai Katibas dan Sungai Rajang berhampiran Song, Kapit pada Ahad. — Facebook

LONGGOKAN ribuan sisa kayu balak atau logjam yang hanyut di sepanjang di Sungai Katibas dan Sungai Rajang berhampiran Song dekat Kapit, Sarawak menjadi mimpi ngeri buat penduduk di kawasan itu.

Kejadian itu didakwa berpunca daripada aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di kawasan hulu Sungai Katibas.

"Sudah biasa tengok keadaan sungai seperti ini, semua berpunca daripada aktiviti pemotongan balak haram. Sudah macam tsunami kalau hujan lebat," dakwa Catherine Bungai.

Tambah Catherine lagi, fenomena sisa kayu balak hanyut itu amat dikesali kerana ia bukan sahaja menjejaskan penduduk yang tinggal di sepanjang sungai, malah pada masa sama membunuh pelbagai spesies hidupan dalam sungai tersebut.

BACA LAGI: Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan

BACA LAGI: [VIDEO] Siap cabut brek, 'Superman' RXZ Fighter bagi isyarat berhenti lepas tergolek sebelum kamera Awas rupanya berlumba

Ekoran daripada kejadian itu juga, seorang warga maya, Felix Adau meluahkan kerisauan kerana kejadian itu akan menyukarkan penduduk yang menggunakan laluan sungai terbabit.

"Dengan lambakan kayu yang banyak seperti ini, sudah tentu kami tidak dapat menggunakan laluan sungai.

"Batang kayu yang hanyut bukan bersaiz kecil tetapi besar-besar. Kalau silap kendalikan bot memang akan berlaku kemalangan.

"Mohon pihak kerajaan ambil tindakan segera, ini soal nyawa dan sungai itu punca rezeki kami.

"Hidup kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang bukan macam bos balak," luahnya.

Seorang lagi warga maya, Carol Telesa memberitahu, penduduk Song terkejut melihat insiden tersebut.

"Orang ramai terkejut melihat begitu banyak serpihan kayu hanyut dari Sungai Katibas. Situasi hampir sama dengan kejadian longgokan kayu hanyut pada tahun 2010.

"Berapa keluasan hutan yang kena tarah kali ini agaknya. Susah bot kecil dan bot laju nak lalu... dah ada yang terkandas," ujarnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram