[VIDEO] Pamer gaya 'superman', polis buru sekumpulan penunggang tergolek di LPT1


  • 112
  • Rabu, 27 Dis 2023

Tangkap layar sekumpulan lelaki mempamerkan aksi ngeri berbahaya ketika menunggang motosikal di Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1), Pahang.

SEKUMPULAN penunggang motosikal yang dirakam menunggang secara berbahaya dan laju di Lebuhraya Pantai Timur (LPT 1), Pahang baru-baru ini mengundang perhatian warganet.

Dalam satu video berdurasi 29 saat yang tular sejak Rabu, memaparkan aksi ngeri 'superman' dilakukan penunggang terbabit sebelum salah seorang daripadanya terjatuh dan terbabas di laluan lebuh raya berkenaan.

Seorang penunggang motosikal yang lain kemudiannya cuba mengelak dari melanggar mangsa terjatuh itu namun gagal mengawal kenderaan sebelum turut terkulai di atas jalan raya.

Menurut kenyataan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Kuala Lumpur, pihaknya menerima rakaman tersebut selepas mendapat perkongsian ramai di laman media.

"Semakan terhadap video yang dirakam oleh salah seorang penunggang terlibat, kejadian berlaku berdekatan susur hentian Rehat dan Rawat Temerloh di LPT 1.

"Pihak polis telah mengarahkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang untuk mengesan dan menjalankan siasatan terhadap penunggang motosikal berkenaan," kata kenyataan itu pada Rabu.

Pihak polis menggesa mereka yang terlibat untuk tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan memandangkan nombor pendaftaran motosikal terlibat telah dikenal pasti.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian terbabit didapati berlaku di KM 127 arah timur LPT 1 pada Ahad lepas dan dirakam sendiri oleh seorang daripada penunggang motosikal berkenaan.

"Polis sedang giat menjejaki mereka yang terlibat dan beberapa penunggang motosikal itu telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mazlan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi talian 09-2716222. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram