GARA-GARA kecuaian pemandu lain, empat beranak berselisih maut selepas kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Apin-Apin dekat Keningau, Sabah pada Ahad.
Kemalangan itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang berada di lokasi kejadian dan dimuat naik di laman media sosial pada hari yang sama.
Melalui video tular berdurasi seminit berkenaan, kelihatan kenderaan jenis Perodua Aruz dilihat memotong beberapa buah kenderaan sebelum sebuah kereta yang juga model sama menghimpit kereta mangsa.
Kenderaan yang dipandu mangsa akhirnya terbabas dan terbalik di bahu jalan tersebut.
BACA LAGI: Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan
Turut kedengaran suara pemilik dashcam yang terkejut melihat kemalangan itu.
"Salah dia himpit, terbalik dah kereta dia (mangsa) itu.
"Tengok anak dia (mangsa) terkeluar di atas bumbung," katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Sharudy Delamin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pukul 3.30 petang Ahad.
Katanya, satu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama 10 pegawai dan anggota digerakkan ke tempat kejadian.
"Terdapat empat sekeluarga terbabit dan mengalami kecederaan. Pasukan EMRS bertindak memberi rawatan awal kepada mangsa.
"Keempat-empat mangsa berusia 59, 44, 12 dan lapan tahun yang cedera kemudian dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram