[VIDEO] Polis ambil masa sejam rekod kenyataan Abdul Hadi


  • Politik
  • Selasa, 05 Mac 2024

Abdul Hadi telah disoal siasat oleh pihak berkuasa berhubung kenyataannya bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada Selasa.

TAN Sri Abdul Hadi Awang telah disoal siasat oleh pihak berkuasa berhubung kenyataannya bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada Selasa.

Setiausaha Politiknya, Mohd Syahir Che Sulaiman dilaporkan berkata, Presiden PAS berkenaan memberi kerjasama penuh berhubung siasatan dilakukan pasukan petugas khas polis Bukit Aman di ibu pejabat parti berkenaan di Jalan Raja Laut, Kuala lumpur.

Katanya, rakaman percakapan Ahli Parlimen Marang itu dilakukan hampir sejam.

"Soalan yang diberikan kepada Tan Sri (Abdul Hadi) boleh tahan juga banyaknya dan ada beberapa muka surat.

“Abdul Hadi juga sudah membaca kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Isnin) yang mahukan Pasukan Khas 3R (bangsa, agama dan raja) menyiasat perkara ini.

"Kami akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini," katanya.

BACA LAGI : Terigau-igau urus jenazah bayi tanpa kepala, dibuang dalam tangki kumbahan

BACA LAGI : [VIDEO] 'Berapa keluasan hutan kena tarah?', tsunami balak jejas penduduk, bunuh ikan di Sungai Katibas, Sungai Rajang

Ujar Mohd Syahir lagi, kesihatan Abdul Hadi merosot sejak kebelakangan ini, menyebabkan beliau tidak dapat menghadiri Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 selepas doktor menasihatkannya supaya tidak melakukan perjalanan jauh.

Bagaimanapun, katanya, keadaan Abdul Hadi kini lebih baik.

Dalam pada itu, Mohd Syahir berkata, Abdul Hadi telah menghantar warkah menjunjung kasih kepada Sultan Selangor pada Isnin.

Kata beliau, warkah menjunjung kasih itu telah diutuskan daripada pihak tuan guru bertarikh 4 Mac kepada Sultan Selangor.

Ditanya mengenai isi kandungan warkah tersebut, kata beliau, biarlah perkara itu menjadi rahsia antara tuan guru dan Sultan Selangor.

"Mohon kita semua menghormatinya dan mendoakan yang baik-baik sahaja," ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ketinggian Islam wajib dipertahankan' pada 20 Februari lalu.

Kenyataan Abdul Hadi itu dipercayai ditujukan kepada alim ulama, para peguam, hakim, ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta Raja-Raja Melayu.

Selangor Royal Office dalam kenyataannya memaklumkan, Sultan Sharafuddin menyifatkan Abdul Hadi tidak membaca secara menyeluruh dan mendalam titah ucapan baginda semasa Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) pada 15 Februari lalu.— TheStar/CHARLES RAMENDRAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram