'Sikit-sikit keluar dewan, MP pembangkang patut beri saingan sihat'


  • Politik
  • Selasa, 27 Feb 2024

Dewan Rakyat yang kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen bertindak keluar daripada dewan susulan isu berbangkit tersebut. — Gambar hiasan/The Star

DEWAN Rakyat kecoh selepas hampir semua Ahli Parlimen di blok pembangkang pada Selasa dilaporkan bertindak keluar kerana tidak berpuas hati terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan Anwar didakwa tidak mematuhi Peraturan Mesyuarat kerana bertindak menyampaikan Penerangan Menteri berkaitan Ucapan Tahniah dah Ikrar Taat Setia kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Ucapan Terima Kasih kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun, perkara itu juga dikatakan sudah mendapat kebenaran daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika itu.

BACA LAGI : Lebih 10 Ahli Parlimen kerajaan sedia sertai pembangkang — Pemimpin Bersatu

msg1050426791-26495

Hamzah meluahkan rasa tidak puas hati terhadap perkara itu. — The Star

Tidak berdiam diri melihat tindakan Anwar itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, tindakan Anwar di tengah-tengah sesi Perbahasan Titah Diraja adalah menyalahgunakan 'sokongan majoriti' yang dimiliki oleh kerajaan.

Katanya, isu yang dibangkitkan itu adalah bertujuan untuk menjelaskan kepada kerajaan supaya tidak menggunakan kuasa majoriti bagi melakukan sesuatu secara sewenang-wenangnya.

Bukan sekadar itu, Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyuarakan pendapatnya dengan menyifatkan bahawa slot yang diberikan kepada Perdana Menteri itu sebagai kejadian luar biasa.

Di sebalik kekecohan itu, ramai juga warga maya dilihat mempunyai percanggahan pendapat terhadap situasi yang berlaku.

Mengulas lanjut, pengguna Facebook Mohamad Ridzuan menganggap sikap para pembangkang itu seolah-olah tidak matang.

BACA LAGI : Bersih berarak ke Parlimen, selesai hantar memorandum tuntut reformasi politik

msg1050426791-26496

Isu berbangkit di Dewan Rakyat tidak diterima rata-rata warga maya. — Gambar hiasan/The Star

Menurutnya, mereka perlu fokus bersaing dengan kerajaan secara sihat dan tidak bertindak untuk keluar daripada dewan.

"Macam mana nak jadi pembangkang yang hebat macam ni. Sikit-sikit keluar dewan, patut beri lah saingan hebat kepada kerajaan. Gaji nak tapi Parlimen ponteng apa bagai. Dah 2024 kot," katanya.

Selain itu, ada juga yang menyifatkan bahawa perkara itu sengaja dibangkitkan sebagai satu isu besar oleh pembangkang.

"Nak beri ucapan tahniah dan terima kasih pada Agong pun MP (Ahli Parlimen) PN (Perikatan Nasional) jadikan isu, teruk betullah," komen Azhan Shakir Mahmud.

"Kau yang tak faham peraturan, PMX dah minta izin dan majoriti luluskan. Itu bukannya ucapan junjung kasih titah Agong semalam, tapi nak ucapkan tahniah dan terima kasih pada Agong sekarang dan Agong sebelum ni. Benda tu tak sampai lima minit pun, korang je yang kecoh-kecoh," luah Mohd Najib Mohd Haidin.

Sebelum ini, Dewan Rakyat juga dikecohkan dengan tindakan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim yang gagal mematuhi Peraturan Mesyuarat.

Disebabkan itu, beliau menjadi wakil rakyat pertama yang diarahkan keluar daripada dewan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul selama empat hari bermula Selasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram