Tuntutan reformasi Bersih: 'Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih'


  • Politik
  • Rabu, 28 Feb 2024

Perarakan dikenali sebagai Himpunan Tuntut Reformasi 100 peratus itu menyaksikan seramai kira-kira 100 peserta berjalan dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur. — Twitter/ooikokhin

SELEPAS sekian lama menyepi daripada menganjurkan sebarang aksi jalanan, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) pada Selasa mengadakan satu perarakan bagi menuntut reformasi daripada kerajaan.

Perarakan yang dikenali sebagai Himpunan Tuntut Reformasi 100 peratus itu menyaksikan seramai kira-kira 100 peserta berjalan dari Plaza Tugu Negara ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Objektif aksi tersebut antara lain adalah bagi mendesak kerajaan untuk melaksanakan reformasi politik seperti yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menerusi memorandum yang diserahkan kepada beberapa ahli Parlimen, Bersih antara lain menuntut penambahbaikan terhadap kaedah pelantikan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ia termasuk dengan melibatkan penubuhan satu Jawatankuasa Parlimen bagi membolehkan semua pihak membahaskannya secara demokratik dan inklusif.

Katanya, kewujudan jawatankuasa itu juga penting bagi membincangkan reformasi terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya dan reformasi Parlimen.

Dalam pada itu, satu lagi tuntutan dikemukakan pada Selasa adalah supaya tiada lagi keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) oleh mahkamah terhadap mana-mana ahli politik yang sedang dibicarakan dengan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Tuntutan ketiga pula adalah supaya kerajaan undang-undang dua darjat membabitkan kes perbicaraan berprofil tinggi melibatkan ahli politik.

2094640

Hassan Abdul Karim.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, kerajaan sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk melaksanakan tuntutan berkenaan sekiranya ia memiliki keazaman politik yang kuat.

"Pepatah Melayu berkata, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih," katanya kepada Majoriti.

Ujarnya, meskipun terdapat beberapa halangan yang perlu ditangani untuk melaksanakan reformasi tersebut, ia dilihat hanya bersifat sementara.

Sebagai contoh, beliau berkata, dalam isu pelantikan Pengerusi SPR, kerajaan hanya perlu membentuk jawatankuasa Parlimen untuk yang masih belum wujud untuk merealisasikan perkara tersebut.

Bagi pelaksanaan moratorium pemberian keputusan DNAA untuk kes berprofil tinggi pula, Hassan menjelaskan bahawa hal tersebut juga boleh dilaksanakan dengan komitmen daripada Kabinet.

"Ini memerlukan komitmen Kabinet dan libat urus dengan banyak pihak untuk dibentangkan rang undang-undang di Parlimen.

"Moratorium tersebut tidak boleh dibuat secara automatik oleh kerajaan. Mesti Parlimen yang buat undang-undang," katanya yang juga merupakan salah seorang Ahli Parlimen yang tampil menerima memorandum tersebut.

Dalam pada itu, tuntutan Bersih supaya kerajaan menolak pelaksanaan undang-undang khususnya membabitkan perbicaraan berprofil tinggi menurut Hassan sememangnya tiada halangan bagi dilaksanakan sekiranya kerajaan mahu berbuat demikian.

Ini kerana katanya, hal tersebut sudah termaktub dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua rakyat adalah sama rata dari segi undang-undang.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpandangan usaha untuk melaksanakan reformasi politik seperti yang dituntut Bersih itu bukanlah satu tugas yang mudah.

Ujarnya, ini dengan mengambil kira pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti yang pastinya mempunyai manifesto yang berbeza ketika PRU15.

"Maka bukan mudah untuk melaksanakan reformasi secara total dengan drastik, perlu hormati rakan-rakan komponen lain yang membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.

2495945 (1)

Menurut Tawfik, pembentukan Kerajaan Perpaduan yang terdiri daripada pelbagai parti turut menjadi faktor menyukarkan usaha reformasi politik yang dituntut Bersih. — Gambar hiasan

Tawfik yang juga pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik Fakulti Ekonomi Pentadbiran Universiti Malaya (UM) berpandangan, situasi itu disulitkan lagi dengan isu visi perjuangan yang berbeza antara parti komponen dalam kerajaan.

Sehubungan itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan beberapa tuntutan reformasi dikemukakan Bersih tidak mendapat sambutan baik daripada parti membentuk kerajaan termasuk Umno.

Tambahnya, hal itu berpotensi berlaku kerana terdapat bekas pemimpin parti itu yang ketika ini sedang berdepan perbicaraan di mahkamah.

"Saya yakin ada kebarangkalian sedemikian kerana kerajaan hari ini dibentuk daripada rakan komponen termasuk Umno juga.

"Maka jika jelas benar ada permintaan daripada Umno, maka keadaan tersebut akan menyukarkan reformasi 100 peratus," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram