‘Patutlah mata wang Singapura lagi tinggi’, netizen banding tahap perbahasan Parlimen Malaysia dengan negara jiran


  • Massa
  • Isnin, 04 Mac 2024

Tangkap layar ucapan perbahasan oleh seorang wakil rakyat dari Singapura di Parlimen Republik tersebut yang dimuat naik di laman X.

BERMULA pada minggu lalu, negara menyaksikan berlangsungnya pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15.

Pada kali ini, persidangan mesyuarat pertama bagi Dewan Rakyat akan berlangsung selama 19 hari sehingga 27 Mac depan.

Apa yang menarik, pembukaan mesyuarat kali ini juga menyaksikan ia buat pertama kalinya dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong baharu dilantik iaitu Sultan Ibrahim.

Dalam titahnya ketika istiadat pembukaan, Sultan Ibrahim turut memberikan teguran kepada ahli politik khususnya ahli Dewan Rakyat supaya mempamerkan teladan yang baik ketika berbahas.

Malah, Seri Paduka Baginda turut memberi kebenaran kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mengambil tindakan kepada mana-mana ahli dewan yang melampaui batas, termasuk mengenakan sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Ingatan yang dititahkan Sultan Ibrahim ketika sesi pembukaan itu bukanlah sesuatu yang pelik.

BACA LAGI: 'Sikit-sikit keluar dewan, MP pembangkang patut beri saingan sihat'

2561993

Yang di-Pertuan Agong baharu, Sultan Ibrahim.

Ini kerana sememangnya diakui bahawa Dewan Rakyat sering kali dicemari dengan gelagat ahli Parlimen yang suka membuat kecoh dan huru-hara sejak sekian lama.

Lebih menyedihkan, sikap sedemikian dilihat hanya menjejaskan proses perbahasan dan kualiti perbincangan di Dewan Rakyat yang sepatutnya menjadi platform membawa suara rakyat.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa hari titah daripada Yang Di-Pertuan Agong, media melaporkan, masih terdapat beberapa lagi kekecohan yang berlaku di Dewan Rakyat.

Meskipun insiden yang berlaku pada kali ini dilihat masih agak terkawal, namun ia masih menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat.

Malah, ada antara mereka menyifatkan bahawa perbahasan yang berlangsung dilihat masih tertumpu hanya kepada isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Pada masa sama, seorang pengguna Twitter turut memuat naik sebuah video yang berkongsikan ucapan daripada seorang wakil rakyat Singapura di Parlimen republik tersebut.

Ini kerana, menurutnya, perbahasan yang ditampilkan oleh Ahli Parlimen dari Singapura iaitu Tan Wu Meng pada 26 Februari lalu cukup berkualiti.

Menerusi ucapan tersebut, Wu Meng menyentuh mengenai kepentingan untuk Kerajaan Singapura menyediakan rakyatnya berdepan dengan cabaran kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Ia termasuk dengan menyediakan subsidi kepada individu berusia 40 tahun dan ke atas bagi melanjutkan pengajian diploma di pengajian tinggi untuk menguasai kemahiran baharu.

"Inilah yang dibincangkan oleh jiran kita, ahli Parlimen Singapura.

"Berbeza dengan ahli parlimen kita dipilih dan membincangkan mengenai Bak Kut Teh dan 'siapa, apa dan bagaimana' menghina institusi Diraja," dakwa AlawiyahYussof yang memuat naik video berkenaan di laman X pada Ahad.

BACA LAGI : Lebih 10 Ahli Parlimen kerajaan sedia sertai pembangkang — Pemimpin Bersatu

Members of Malaysia's parliament attend a session of the lower house of parliament, in Kuala Lumpur, Malaysia July 26, 2021. Malaysia Information Department/Nazri Rapaai/Handout via Reuters ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE HAS BEEN SUPPLIED BY A THIRD PARTY. NO RESALES. NO ARCHIVES

Dewan Rakyat sering kali dicemari dengan gelagat ahli Parlimen yang suka membuat kecoh dan huru-hara. — Gambar hiasan/Reuters

Dalam pada itu, perkongsian tersebut turut mendapat respons daripada warganet yang rata-ratanya turut bersetuju dengan perbezaan ketara kualiti perbahasan antara ahli Parlimen di Malaysia dan Singapura.

"Politik matang bercakap tentang dasar, kebaikan negara dan memartabatkan masyarakat yang ditinggalkan. Politik kita dipenuhi dengan sekumpulan 'badut' dari kedua-dua belah pihak!" tulis eddienglfc.

"Politik Malaysia masih terperangkap dengan 3R, dan belum mula berbincang mengenai topik yang progresif, berpandangan ke hadapan dan bertujuan untuk menaikkan taraf hidup rakyat ke arah masa depan," ujar kkholimi.

"Rakyat Singapura memberi tumpuan kepada apa yang mereka mahu capai untuk rakyat mereka. Sedangkan ahli politik di Malaysia menumpukan perhatian untuk mengganggu satu sama lain untuk kepentingan diri sendiri. Mungkin mereka perlu menjadi lebih matang," kata AaronFridays.

"Sebab itu nilai 1 dolar Singapura bersamaam 3.53 ringgit hari ini. Ahli politik kita masih dalam perdebatan hangat mengenai isu kaum dan agama yang tidak berkesudahan," tulis wchian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram